- Iklan -
Berita

Rundingan Jho Low dengan kerajaan gagal, Apandi terlibat

Bekas peguam negara itu enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho menghubungi kerajaan Malaysia sejak beberapa minggu lalu dalam usahanya berunding bagi membolehkan beliau pergi ke AS untuk menyelesaikan kes berkaitan skandal 1MDB, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan.

Difahamkan, perbincangan mengenai perkara itu turut dihadiri bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali.

Bagaimanapun MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan apakah peranan Apandi yang hadir dalam sesi rundingan tersebut di mana peguam Low dari firma Kobre & Kim turut berada di situ.

Ketika ditanya mengenai peranannya, Apandi enggan mendedahkan butiran perbincangan.

"Maaf. Maklumat itu adalah sulit," kata Apandi kepada MalaysiaNow.

Apandi merupakan peguam negara sewaktu pendedahan skandal 1MDB berada di kemuncak ketika pentadbiran Najib Razak.

Ketika beliau masih berkhidmat sebagai peguam negara, Apandi menarik perhatian ramai selepas membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

Baru-baru ini, beliau berkata keputusan kontroversi itu diambil kerana saksi utama termasuk Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low melarikan diri.

Dalam pada itu, MalaysiaNow difahamkan Low juga sedang mendapatkan bantuan dari Malaysia dalam usaha menarik balik notis merah yang dikeluarkan Interpol terhadapnya.

Notis merah itu menghalangnya daripada pergi ke AS selepas mencapai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) yang menuduhnya mencuri berbilion dolar dana 1MDB.

"Beliau sedang mendapatkan bantuan kerajaan berkait pasport Malaysianya.

“Beliau buat permohonan tetapi gagal memenuhi syarat yang kami tetapkan, yang turut menetapkan supaya wang 1MDB dipulangkan,” kata sumber rapat dengan rundingan yang diadakan dengan peringkat tinggi pihak berkuasa yang terlibat dalam kes 1MDB.

Low dianggap sebagai lelaki yang memainkan peranan penting dalam skandal 1MDB, di mana DoJ menamakan beliau sebagai dalang penyelewengan dana sebanyak AS$4.5 bilion dari 1MDB dalam akaun peribadinya.

Keberadaannya sebagai orang dalam buruan tidak pernah dipastikan, namun waran tangkap dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Badan anti rasuah itu turut memaklumkan kepada Interpol sebagai amaran terhadap statusnya dan dua lagi individu.

Percubaan Jho Low kali ini bukan kali pertama dalam usahanya mendekati pihak berkuasa di Malaysia, di mana beliau didakwa di mahkamah tanpa kehadirannya berhubung konspirasi jenayah bersama Najib dalam skandal 1MDB.

Dua tahun lalu, agensi berita Al-Jazeera mendedahkan perbualan telefon yang menunjukkan bagaimana Low terdesak untuk berunding dengan pihak berkuasa Malaysia tanpa menunjukkan sebarang penyesalan atas setiap tindakannya.