- Iklan -
Berita

Orang Asli Mah Meri teruja belajar bahasa Inggeris dengan mahasiswa UiTM

Isu keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak komuniti itu menimbulkan kebimbangan dan usaha sedang dijalankan untuk menggalakkan mereka kembali ke sekolah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak Orang Asli belajar sambil bermain bersama mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara.
Kanak-kanak Orang Asli belajar sambil bermain bersama mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara.

Keriangan kanak-kanak Orang Asli menceriakan suasana ketika mereka berkumpul di kompleks bangunan kayu berwarna perang di Pulau Carey, Selangor hari ini.

Pada kebanyakan masa, Pusat Kraf Orang Asli itu agak sepi, namun suasana akan berubah jika masyarakat suku Mah Meri yang tinggal di kawasan itu mengadakan program bersama pelancong, pelajar atau agensi kerajaan.

Hari ini,  pusat tersebut dipenuhi sekumpulan 20 anak Orang Asli Mah Meri berusia 10 hingga 12 tahun yang bersemangat untuk belajar bahasa Inggeris.

Berpakaian sukan, mereka membuat bulatan dan berinteraksi dengan beberapa mahasiswa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mereka harus meneka beberapa perbuatan yang dimimikkan semula oleh mahasiswa yang bertindak sebagai guru mereka untuk sehari.  

Para pelajar kelihatan ceria dan seronok menerima kedatangan kumpulan mahasiswa itu, apatah lagi setelah dua tahun penutupan sekolah.

DSC_7388

Seramai 34 mahasiswa Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama seorang pensyarah pengiring hadir mengadakan program Mah Meri's English Getaway bersama murid-murid tersebut.

Seorang pelajar Orang Asli, Abrisam Mohd Hasmadi, 10, menceritakan keterujaan bermain aktiviti yang dianjurkan.

"Saya belajar meneka nama anggota tubuh badan. Kena jawab dalam bahasa Inggeris.

"Seronok belajar bahasa Inggeris dengan kawan-kawan macam ini," katanya kepada MalaysiaNow.

Seperti kebanyakan rakan-rakannya, Abrisam masih belum menguasai pembinaan ayat dan kosa kata bahasa Inggeris, dan hanya boleh menuturkan ayat asas seperti “what is your name?”.

Pengerusi jawatankuasa keselamatan Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Azman Sap berkata, komuniti Orang Asli sentiasa mengalu-alukan program pendidikan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Program-program seperti ini sebenarnya menarik minat pelajar untuk terus bersemangat pergi ke sekolah," katanya kepada MalaysiaNow.

Ini kerana katanya masyarakat Orang Asli di pulau itu berdepan dengan masalah keciciran pendidikan apabila ada antara mereka yang tidak mahu meneruskan sekolah menengah selepas tamat sekolah rendah.  

Menurut Azman, walaupun masih terkawal, kecenderungan pelajar berbuat demikian bukanlah sesuatu yang memberangsangkan.

"Mungkin kurang penekanan kepada pendidikan itu dalam kalangan ibu bapa sendiri. Mereka juga biasanya lebih minat kemahiran-kemahiran tertentu," tambahnya.

Kira-kira 500 orang penduduk Orang Asli mendiami kawasan itu yang mempunyai dua sekolah rendah bagi menampung keperluan pendidikan anak-anak orang Asli.

Selain faktor ibu bapa, Azman berkata berdasarkan pemerhatiannya, pengaruh rakan sebaya memainkan peranan besar untuk seseorang anak Orang Asli membuat keputusan sama ada ingin meneruskan pengajian ke sekolah menengah atau tidak.

"Kalau seseorang pelajar itu berkawan dengan orang yang tidak sekolah juga, maka rakannya itu menjadi tarikan.

“Kebiasaannya jika mereka melepasi tingkatan tiga, mereka akan tamatkan persekolahan.

"Cuma tahap melangkah ke sekolah menengah ini yang sedikit sukar," katanya.

Menurut Azman, dia dan beberapa anggota komuniti turut cuba membantu mereka yang tidak mahu bersekolah lagi, namun tiada apa yang mampu diusahakan sekiranya pelajar tersebut sudah nekad dengan keputusannya untuk tidak bersekolah lagi.

Katanya, pendekatan yang dibawa menerusi program seperti Mah Meri's English Getaway itu menyebabkan minat murid-murid terus menyala dalam mencari ilmu pengetahuan.

Berbanding sesi formal di sekolah, para pelajar lebih seronok dengan kaedah belajar melalui permainan dan aktiviti.

IMG_1056

Ketua projek Mah Meri's English Gateway, Mohammad Syurizan Husni berkata, pihaknya mengadakan tiga aktiviti yang bersifat interaktif dan seronok bagi menarik perhatian dan minat pelajar terhadap subjek bahasa Inggeris.

"Kita ada aktiviti Sumpit It Right, teka nama haiwan, dan 'musical chair', yang mudah untuk mereka faham.

"Sedikit-sebanyak kami selitkan nasihat untuk mereka sambung belajar apabila mengetahui ada kalangan pelajar yang tidak berminat sambung persekolahan," katanya.

Aktiviti tersebut merupakan program wajib perkhidmatan komuniti untuk pelajar Akademi Pengajian Bahasa.

Pemilihan komuniti Orang Asli itu katanya bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bahasa Inggeris kepada masyarakat di luar bandar yang mana bahasa Inggeris tidak terlalu dipertuturkan.

"Setakat pemerhatian kami, pengetahuan bahasa Inggeris mereka pada tahap asas. Kami fokus mengajar tentang cara penstrukturan ayat," katanya.

Azman berkata, dalam era masa kini, Orang Asli tidak terkecuali perlu menguasai bahasa Inggeris.

"Dalam kalangan Orang Asli, bahasa Inggeris masih lagi kurang penguasaannya.

"Bagus jika ada pendekatan untuk memahirkan bahasa Inggeris ini, bukan sahaja untuk murid sekolah, orang dewasa pun perlu," katanya.