- Iklan -
Berita

Kadar pengangguran Malaysia menurun 1.8% pada Mei 2022

Kedudukan tenaga buruh pada Mei mengukuh dengan peningkatan kepada 16.54 juta orang, berbanding 16.5 juta orang pada April.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Iklan jawatan kosong di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
Iklan jawatan kosong di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

Kadar pengangguran negara menurun 1.8% pada Mei tahun ini iaitu seramai 637,700 orang berbanding 649,300 orang bulan sebelumnya, demikian menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Mei 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh pada Mei 2022 mengukuh dengan peningkatan 0.2% bulan ke bulan kepada 16.54 juta orang, berbanding 16.5 juta orang pada April.

“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sedikit kepada 69.5% daripada 69.4% pada April 2022, menunjukkan lebih banyak pertumbuhan guna tenaga yang stabil,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata penduduk bekerja menunjukkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.3% untuk merekodkan 15.90 juta orang pada Mei berbanding 15.85 juta orang pada April.

Uzir berkata komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja dengan 76.2%, dan kategori itu meningkat 0.2% kepada 12.11 juta orang berbanding 12.09 juta orang bulan sebelumnya.

Katanya penduduk bekerja sendiri pula bertambah sebanyak 0.7% kepada 2.74 juta orang pada Mei, berbanding 2.72 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan Mei mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan mereka,” katanya.

Dalam sektor ekonomi, Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan trend positif terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan makanan dan minuman.