- Iklan -
Berita

Kalwant digantung di Singapura pagi ini

Mayat mendiang akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Cameron Highlands, Pahang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Kalwant Singh menjalani hukuman gantung sampai mati di Singapura awal pagi ini selepas gagal dalam percubaan akhir menangguhkan pelaksanaan hukuman bagi kesalahan dadah sembilan tahun lalu, menjadikannya hukuman mati terbaru oleh negara itu selepas pelaksanaan hukuman kontroversi yang dijalani Nagaenthran K Dharmalingam pada April.

Mayat Kalwant akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Cameron Highlands, Pahang, di mana mendiang akan dikebumikan.

Kalwant ditahan ketika berusia 23 tahun di Singapura pada 24 Oktober 2013, atas kesalahan menyeludup lebih 60g diamorfin ke republik itu. 

Dia dijatuhkan hukuman mati pada 1 Jun 2016.

Pada Rabu, dia memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan Singapura bagi penangguhan pelaksanaan hukuman selain permohonan semakan terhadap sabitan dan hukumannya.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonannya sekali gus menyebabkan hukuman matinya tetap diteruskan di Penjara Changi awal pagi tadi.

Pelaksanaan hukuman gantung terhadap Kalwant ditetapkan kurang daripada tiga bulan selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran, di mana ia tetap dijalankan walaupun mendapat bantahan dan kecaman antarabangsa berikutan keadaannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Dia menjalani hukuman gantung pada 27 April lalu walaupun pelbagai usaha dan rayuan dijalankan di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi menangguhkan pelaksanaann hukumannya.

Nagaenthran yang mempunyai skor IQ 69, tahap yang membolehkannya diiktiraf sebagai OKU, dilaporkan telah dipaksa untuk melakukan jenayah pengedaran dadah.