- Iklan -
Berita

JPJ lancar Op Khas Aidiladha

Fokus kepada pemandu bas ekspres dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memandu laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar serta membawa muatan berbahaya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli (kiri) memeriksa motosikal yang disita pada “Kick-Off” Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2022 (HRAA 2022) yang diadakan di Tol Sungai Besi (menghala Seremban) di Kuala Lumpur, malam tadi.
                        
Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Khas HRAA 2022 akan dilaksanakan bermula dari 7 dan 8 Julai serta 12 dan 13 Julai. Gambar: Bernama.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli (kiri) memeriksa motosikal yang disita pada “Kick-Off” Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2022 (HRAA 2022) yang diadakan di Tol Sungai Besi (menghala Seremban) di Kuala Lumpur, malam tadi.
 Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Khas HRAA 2022 akan dilaksanakan bermula dari 7 dan 8 Julai serta 12 dan 13 Julai. Gambar: Bernama.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Op Khas Hari Raya Aidiladha mulai semalam hingga Rabu depan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena cuti perayaan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata dalam operasi itu, pihaknya memberi lebih fokus kepada pemandu bas ekspres dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memandu laju, tidak menggunakan tali pinggang keledar serta membawa muatan berbahaya.

"Pemantauan terhadap pemandu bas ekspres akan dilakukan di 28 terminal bas utama di seluruh negara melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang dan pemantauan di lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya," katanya pada sidang media operasi itu di Plaza Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu juga, JPJ akan menyita kenderaan dipandu oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu atau lesen memandu mereka tamat tempoh.

"Kenderaan yang tamat cukai jalan juga akan disita dalam op ini," katanya.

Aedy juga menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang kesalahan jalan raya melalui aplikasi JPJ e-ADUAN@JPJ yang dilancarkan pada April lepas.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan semasa pulang ke kampung supaya selamat sampai ke destinasi.

Mengulas operasi di Plaza Tol Sungai Besi, Aedy berkata setakat 10 malam, sebanyak 330 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dan sembilan kenderaan melibatkan lima motosikal manakala empat kereta disita kerana cukai jalan tamat tempoh serta pemandu tidak memiliki lesen.

"Dalam operasi ini juga, dua lelaki berusia 30-an ditahan kerana positif dadah," katanya.