- Iklan -
Berita

Harga siling ayam ditetapkan RM9.40 sekilo bagi semenanjung

Sementara harga siling telur adalah antara 45 sen sebiji bagi Gred A hingga 41 sen untuk Gred C.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat di Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Datuk Keramat di Kuala Lumpur.

Kerajaan hari ini mengumumkan harga siling ayam ditetapkan kepada RM9.40 sekilogram bagi semenanjung bermula 1 Julai sementara harga telur ayam ditetapkan pada 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen bagi Gred B dan 41 sen bagi Gred C, kata Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Ronald Kiandee.

“Keputusan ini juga mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pada 21 Jun berkata kawalan harga siling ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua hingga 5 kg tidak diteruskan mulai 1 Julai.

Bagaimanapun pada 24 Jun Ismail mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Harga siling ayam sebelum ini ditetapkan pada RM8.90 sekilogram.

Dalam kenyataan hari ini Ronald berkata isu kenaikan harga barang bukan hanya berlaku di Malaysia.

“Sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” kata Ronald.