- Iklan -
Berita

Mengapa majoriti belia Melayu tak minat politik?

Mereka berkata suara orang muda sering dipinggirkan dan tiada guna mengundi pilihan raya jika ahli politik bertukar parti selepas diundi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian belia Melayu didapati tidak minat untuk mengundi pilihan raya dan menganggap politik sebagai 'hal orang tua'.
Sebahagian belia Melayu didapati tidak minat untuk mengundi pilihan raya dan menganggap politik sebagai 'hal orang tua'.

Sebahagian belia Melayu berpandangan politik adalah “hal orang tua”, ia adalah pandangan yang selari dengan dapatan badan tinjauan bebas Merdeka Center baru-baru ini yang mendedahkan hanya 40% belia Melayu akan keluar mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Beberapa belia yang ditemui sedang berbual di sebuah restoran makanan segera menyifatkan politik di Malaysia sebagai “hal orang tua” dan meminggirkan suara mereka.

Seorang daripada mereka, Wan Ahhyat, 19 tahun berkata, pendekatan yang digunakan oleh ahli politik juga terlalu lapuk dan tidak mesra dengan gaya hidup generasi itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia mengambil contoh kenyataan terbaru pemimpin muda DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali yang mahu rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup, menurut Wan sebagai “sangat kelakar dan merugikan”.

Katanya, golongan muda menghabiskan banyak masa menatap skrin telefon pintar dan pendekatan baru perlu diperkenalkan dan protes merupakan jalan yang merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

“Saya jamin, tiada (belia) yang akan turun. Kalau kami pergi protes, perlu ambil cuti. Itu maknanya tak dapat duit. Lagi terbeban hidup,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lainlah, kalau kami pergi, kau bagi kami duit. Memang penuhlah jalan raya itu dengan belia protes,” katanya disambut gelak tawa rakan-rakannya.

Di media sosial juga, amat jarang untuk menemui golongan muda bercakap tentang isu semasa dan politik.

Ini turut terbukti dalam tinjauan Merdeka Center yang mendapati belia menggunakan internet untuk tujuan hiburan (32%), berhubung (32%) dan tugasan belajar (17%).

Manakala, tujuan untuk mendapatkan maklumat dan berita terkini hanya pada 16%.

Peratusan tersebut kedengaran sungguh ironi apabila ramai pihak menggunakan internet dan media sosial untuk bersuara mengenai banyak hal terutama sekali isu kos sara hidup yang makin tinggi di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pelajar universiti turut keliru

MalaysiaNow turut menemui dengan beberapa orang mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengatakan mereka keliru dengan ahli politik di Malaysia yang masih belum jelas dengan masa depan negara selepas lebih enam dekad mencapai kemerdekaan.

Mereka menyalahkan ahli-ahli politik sebagai golongan yang mempunyai perangai “tidak menentu”, merujuk kepada sikap lompat parti sehingga menyebabkan pertukaran tampuk pimpinan kerajaan.

“Sebab itu saya tak minat politik dan mungkin tak akan turun mengundi kerana merugikan,” kata Nur Zulaika Abd Rauf.

Dia dan rakan-rakannya berkata, mereka sedar akan kepentingan politik untuk memastikan sesebuah negara boleh bergerak di bawah sistem yang teratur dan adil.

Bagaimanapun, sehingga suatu masa apabila ahli politik tidak lagi melompat parti dan bertukar-tukar sokongan, mereka memilih untuk menjauhi politik.

Seorang mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mahu dikenali sebagai Aswad berkata, sehingga kini dia masih belum dapat mengenal pasti siapa pemimpin politik yang benar-benar mewakili golongan belia.

“Dulu, saya minat nak ikut gerakan politik oleh Syed Saddiq Abdul Rahman, tapi sekarang dia pun macam nak jadi kluster mahkamah.

“Saya terus lupakan minat pada politik dan fokus kepada pelajaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Berdialog dengan orang muda

Dalam pada itu, Wan dan rakan-rakannya mencabar ahli-ahli politik tempatan supaya membuka ruang dialog secara terbuka dengan anak muda untuk berbincang mengenai kos sara hidup dan isu semasa.

“Kalau betul-betul mereka berani buat, kami rela tak dapat pendapatan sehari. Kami mungkin dipanggil budak, tapi tak semua budak-budak boleh diperbodohkan.”

Tambahnya, sejak tamat zaman persekolahan dua tahun lalu, dia sudah banyak berdepan dengan pelbagai cabaran seperti mencari kerja sewaktu pandemik dan tak boleh sambung belajar disebabkan kekangan wang.

Wan mencadangkan supaya pemimpin sayap-sayap Pemuda parti-parti politik untuk membuat sesi dialog dengan menawarkan jalan penyelesaian kepada isu inflasi dan bagaimana membantu untuk memperkasakan sektor ekonomi gig yang menjadi kegilaan belia masa kini bagi menjana pendapatan.

“Kawan-kawan yang lain pun pasti ada yang senasib dengan saya, cuba panggil kami dan dengar apa kami nak cakap.

“Nak dengar atau tidak, itu sahaja persoalannya.”