- Iklan -
Berita

Pertimbangkan imbuhan untuk sukan selain bola sepak, kata bekas atlet kebangsaan

Mereka berkata pemberian imbuhan kepada atelet negara adalah satu perkembangan positif, namun semua sukan harus mendapat layanan sama rata.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu. Gambar: Bernama
Pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu. Gambar: Bernama

Putrajaya digesa mempertimbangkan pemberian imbuhan kepada sukan-sukan selain bola sepak yang mampu melangkah dalam kejuaraan dunia, selepas imbuhan kepada pasukan bola sepak negara dipertimbangkan kerajaan apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Asia.

Bekas pemain hoki kebangsaan, I Vikneswaran berkata, beliau secara peribadi menyambut baik khabar pemberian imbuhan kepada skuad bola sepak kebangsaan kerana ia menunjukkan kerajaan menghargai bidang sukan.

“Memberi imbuhan kepada pasukan bola sepak atas kejayaan melayakkan diri untuk Piala Asia ialah sesuatu yang positif. Tetapi apa yang beliau (Ismail Sabri Yaakob) boleh fikirkan ialah memberi galakan kepada sukan-sukan lain juga,” katanya kepada MalaysiaNow.

Vikneswaran mengulas kenyataan Ismail berhubung pemberian imbuhan kepada pemain kebangsaan, selepas menewaskan Bangladesh 4-1 bagi melayakkan diri ke Piala Asia.

Beliau yang juga pemilik Kelab Hoki Kuala Lumpur berkata, pasukan hoki negara antara yang terbaik di dunia dan di Asia.

Ia dapat dibuktikan apabila skuad hoki berjaya mendapat tempat kedua dalam Piala Asia baru-baru ini selepas tewas kepada Korea Selatan.

“Pasukan kebangsaan merupakan yang terbaik di Asia ketika ini namun malang kita tewas. Ia ibarat Real Madrid melawan Liverpool  (perlawanan akhir Liga Juara-Juara). Liverpool pasukan yang lebih baik namun mereka kalah,” katanya.

Skuad hoki dengan nama jolokan The Speedy Tigers itu sebelum ini berjaya menempah tiket ke Piala Dunia hoki 2023.

Menurut laman sesawang Persekutuan Hoki Dunia, ranking pasukan hoki Malaysia ialah pasukan ke-11 terbaik dunia.

Sebagai perbandingan, ranking bola sepak Malaysia di tangga ke-154 dunia.

Sebelum ini pengguna internet menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan layanan kerajaan terhadap sukan selain bola sepak.

Sukan-sukan tersebut disifatkan lebih berpotensi berbanding bola sepak.

Sementara itu, Loo Kum Zee, bekas atlet lompat tinggi Malaysia berkata, imbuhan itu merupakan satu perkembangan baik kerana pemain memerlukan motivasi dan galakkan untuk meneruskan kempen di peringkat Asia.

Katanya, meskipun bola sepak lebih popular, galakan untuk atlet sukan-sukan lain juga harus diberikan walaupun sukar untuk membuat perbandingan satu dengan satu antara bola sepak dan sukan-sukan lain.

“Sudah tentu apabila kerajaan mengumumkan imbuhan tersebut, mereka perlu sensitif dan pertimbangkan semua aspek. Setiap atlet berkorban masa dan tenaga untuk bermain sukan.

“Tunggak utama dalam hal ini ialah Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu. Dia boleh menggerakkan sesiapa untuk fokuskan kepada sukan-sukan lain. Untuk memberi layanan sama rata sangat penting,” katanya.

Loo merupakan pemenang pingat emas dalam acara lompat tinggi pada Sukan Sea 1995 sehingga 2003, dan pernah memenangi Perak Athlete of The Year pada 1996.

Katanya, selain daripada usaha kerajaan, persatuan-persatuan sukan turut digesa untuk bekerja keras mempopularkan sukan masing-masing kepada orang ramai, yang mana mereka perlu mencari tajaan untuk tujuan tersebut.

Vikneswaran turut bersetuju.

Katanya mengakui liputan dan minat orang ramai terhadap sukan bola sepak lebih besar berbanding sukan-sukan lain, namun perubahan perlu dilakukan untuk terus menyokong sukan-sukan tersebut.

“Bukan sahaja kerajaan, tetapi keseluruhan ekologi termasuk korporat, orang ramai dan pemegang taruh serta individu yang bermain hoki perlu bekerja ke arah ini. Jika semua orang berbuat demikian, tiada sebab untuk kita tidak mendapat sokongan,” katanya.

Antara lain, katanya institusi pendidikan boleh memberi biasiswa kepada atletatlet yang layak, selain perhatian kepada pemain di peringkat sekolah yang juga parameter penting dalam membentuk minat orang ramai.

Dalam pada itu, Vikneswaran menjelaskan hoki buat masa ini tidak mendapat peruntukan secukupnya terutama di peringkat kerajaan negeri berbanding bola sepak.

“Di peringkat negeri, bola sepak cukup bertuah. Semua kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada sukan itu. Mereka mempunyai bajet yang besar.

“Peruntukan untuk sukan hoki tidak sampai 5% daripada apa yang diperuntukkan untuk bola sepak. Kalau kami dapat 5% pun, kami boleh menjadi lebih baik daripada yang sekarang,” kata Vikneswaran.