- Iklan -
Berita

Najib tidak ambil tindakan AS$700 juta milik 1MDB dipindah ke syarikat Jho Low, kata saksi

Bekas menteri kewangan Ahmad Husni Hanadzlah berkata beliau telah mengajukan perkara itu kepada Najib, namun bekas perdana menteri itu hanya mendiamkan diri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah membertahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa sekiranya beliau perdana menteri, beliau pasti akan mengambil tindakan apabila wang AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB) dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho or Jho Low.

Husni, 70, berkata beliau akan mengambil tindakan segera, dan mendakwa pindahan itu akan akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata apabila beliau mendapat tahu bahawa wang itu dipindahkan kepada Good Star Limited dan bukannya terus kepada PetroSaudi International (PSI), beliau telah bertanya kepada Najib Razak, namun bekas perdana menteri itu hanya mendiamkan diri, dan tidak menunjukkan sebarang reaksi atau mengambil sebarang tindakan mengenainya.

“Sekiranya saya pemimpin tertinggi, pasti saya akan terperanjat dan saya akan mengambil tindakan, tapi dia relaks je,” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa pada 30 September 2009, sebanyak AS$700 juta telah dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan itu.

“Najib tidak bimbang dengan perkara itu. Saya jumpa dia beberapa kali, tapi tiada tindakan yang diambilnya,” kata Husni.

Shafee: “Sebagai PM (perdana menteri) tanpa ‘engagement’ dengan syarikat iu, bagaimana dia nak ambil tindakan?”

Husni: Dia boleh hubungi pihak pengurusan, boleh ketepikan mereka (pengurusan), tapi tiada tindakan juga, dia relaks je.

Shafee kemudian berkata keterangan saksi itu bagaikan menghina perdana menteri ketika itu, namun Husni menafikannya.

Husni juga berkata segalanya dalam 1MDB adalah di bawah kuasa Najib, termasuk kelulusan untuk pelaburan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.