- Iklan -
Berita

Kenderaan berat dilarang masuk ke pusat bandar KL pada waktu puncak

Kenderaan berat yang dikesan masuk ke ibu kota pada waktu puncak akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari utara keadaan trafik di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari utara keadaan trafik di pusat bandar Kuala Lumpur.

Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melarang kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki pusat bandar pada waktu puncak, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata langkah itu diputuskan oleh jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di ibu negara hari ini.

Justeru, beliau berkata mana-mana kenderaan berat yang dikesan masuk ke ibu kota pada waktu puncak akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kami mendapati kemasukan kenderaan berat tanpa mengira waktu menjadi antara punca yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di ibu negara.

“Oleh itu, sekiranya mereka melanggar peraturan ini, mereka akan dikenakan tindakan kompaun secara mandatori dan kami berpendirian tegas untuk tidak akan melayan sebarang rayuan yang dikemukakan kelak,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu.

Jalaluddin berkata DBKL juga akan meletakkan paparan maklumat boleh ubah (VMS) larangan kenderaan berat di lokasi berhampiran sempadan penyediaan kawasan parkir sebelum masuk ke ibu negara.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas di ibu negara juga didapati berpunca daripada peningkatan berganda jumlah kenderaan selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara pada Ogos tahun lepas.

“Ia juga disebabkan tiada lagi pelaksanaan bekerja dari rumah dan halangan di jalan utama seperti kemalangan, pokok tumbang serta kenderaan rosak selain penurunan sehingga 30 peratus terhadap penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Jalaluddin berkata jawatankuasa khas itu turut memutuskan untuk melarang kenderaan parkir di bahu jalan semasa waktu puncak dan membatalkan petak parkir secara berperingkat di jalan utama.

“Kami juga melarang penjaja meniaga di bahu jalan semasa waktu puncak dan membatalkan petak penjaja secara berperingkat terutama di bahu jalan di jalan utama.

“Pada masa sama, kami juga sentiasa mengemas kini papan tanda berkaitan lalu lintas dan peraturan keselamatan jalan raya serta menguat kuasa larangan kenderaan berhenti di petak kuning persimpangan,” katanya.