- Iklan -
Berita

Wang AS$61 juta, £9.46 juta dari syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib, kata saksi

Tiga syarikat berbeza yang dikaitkan ahli perniagaan dalam burun Jho Low direkodkan memasukkan wang ke dalam akaun Ambank peribadi bekas perdana menteri itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib Razak menerima sejumlah AS$61 juta dan £9.46 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya melalui pindahan wang luar negara daripada tiga syarikat didakwa berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pengurus Bahagian Unit Swift di Ambank (M) Berhad Wedani Senen, 48, berkata kesemua transaksi melibatkan akaun bekas perdana menteri itu adalah di antara Mac 2013 dan Dis 2014 dengan nombor akaun 2112022009694 menggunakan kod nama AmPrivate Banking-MR dan 2112022011880 kod nama AmPrivate Banking-1MY.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata terdapat pemindahan wang berjumlah AS$61 juta ke akaun Najib daripada Tanore Finance Corporation.

Pada prosiding sebelum ini, Tanore dinyatakan sebagai antara entiti yang menerima wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain didakwa mempunyai kaitan dengan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Wedani juga berkata akaun Najib yang berakhir dengan nombor 880 menerima £750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

“Akaun sama turut menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014), £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014), £995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Dis 2014),” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion dari 1MDB.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) telah mengenal pasti Vista Equity dan Blackrock Commodities sebagai “shell company” (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tan.

Ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, Wedani berkata beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Bank Negara (BNM) mengenai transaksi melibatkan jumlah wang besar ke dalam akaun ahli Parlimen Pekan itu.

“Unit kami tidak membuat sebarang laporan kerana terdapat bahagian lain yang menguruskan pelaporan kepada BNM.

“Saya juga tidak pasti sama ada BNM ada menimbulkan sebarang amaran dan meminta bank memberikan penjelasan mengenai kesemua transaksi melibatkan wang yang besar itu,” katanya.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.