- Iklan -
Berita

Presiden Perancis Macron gagal kekalkan majoriti di parlimen

Macron mungkin terpaksa mengusahakan jalinan sekutu baru dalam politik selepas keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada gabungannya.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Emmanuel Macron bersalaman dengan penyokongnya ketika membuang undi bagi pilihan raya parlimen  di Le Touquet. Gambar: AFP
Presiden Emmanuel Macron bersalaman dengan penyokongnya ketika membuang undi bagi pilihan raya parlimen di Le Touquet. Gambar: AFP

Presiden Perancis, Emmanuel Macron kehilangan majoriti di parlimen negara itu hari ini, selepas pakatan berhaluan kiri serta pesaing berhaluan kanan yang baru dibentuk meraih kejayaan dalam pilihan raya.

Keputusan pengundian pusingan kedua, semalam, menyaksikan politik Perancis terjerumus ke kancah pergolakan, sekali gus meningkatkan prospek badan perundangan lumpuh atau pakatan politik tidak menentu, di mana Macron mungkin terpaksa mengusahakan jalinan sekutu baru dalam politik.

Macron, 44, juga berisiko berdepan masalah domestik ketika beliau memberi tumpuan untuk memainkan peranan penting dalam usaha menamatkan pencerobohan Rusia di Ukraine serta menjadi tokoh utama dalam Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, pakatan “Together” yang dipimpin Macron masih menjadi parti terbesar dalam penggal Parlimen Perancis yang akan datang.

Namun dengan hanya memenangi 245 kerusi berdasarkan keputusan penuh pilihan raya parlimen yang diumumkan awal pagi tadi, pakatan berkenaan gagal menguasai 289 kerusi diperlukan bagi membentuk majoriti mudah dalam dewan rakyat yang memperuntukkan 577 kerusi itu.

“Keadaan ini mencetuskan risiko kepada negara kita, memandangkan cabaran yang perlu dihadapi. Kita akan berusaha mulai esok untuk membina majoriti yang berfungsi,” kata Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne, dalam kenyataan disiarkan melalui televisyen.

Perkembangan itu dilihat “mencemarkan” kejayaan Macron pada Pilihan Raya Presiden, April lalu, di mana beliau menewaskan pesaing berhaluan kanan untuk muncul sebagai presiden Perancis yang pertama memenangi penggal kedua dalam tempoh lebih dua dekad.

“Ia adalah titik perubahan pada imejnya sebelum ini yang dilihat kalis kekalahan,” kata Bruno Cautres, seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan Politik Sciences Po.

Akbar harian Le Monde juga meletakkan tajuk utama di laman webnya: “Macron berdepan risiko kelumpuhan politik,” manakala harian Le Figaro berkata keputusan “mandat yang baru lahir telah mati”.