- Iklan -
Berita

Mengapa miskin bandar ubah suai rumah secara haram?

Pengubahsuaian rumah secara haram menjadi antara gambaran keadaan miskin bandar yang tiada banyak pilihan dalam menangani kekurangan ruang peribadi dan keluarga.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Ubahsuai di flat kos rendah di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor dipercayai dilakukan tanpa permit sah dari pihak kerajaan tempatan.
Ubahsuai di flat kos rendah di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor dipercayai dilakukan tanpa permit sah dari pihak kerajaan tempatan.

Pakcik Zamani, bukan nama sebenar merupakan salah seorang penghuni rumah kos rendah di Selangor sejak penghujung tahun 1999.

Dia dan isterinya membesarkan empat orang anaknya di rumah itu.

Kini, selepas lebih 20 tahun berlalu, dua orang anaknya masih tinggal sebumbung dengannya menjadikan jumlah keseluruhan penghuni rumah itu seramai tujuh orang.

Ini termasuk seorang menantu dan dua orang cucu yang masih kecil.

Ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, dia memberitahu sejak tinggal di situ, dia dan keluarga terperangkap dengan ruang rumah yang sempit sehingga memaksa rumah diubah suai supaya menjadi lebih selesa.

Rumah Zamani menjadi salah satu tumpuan orang ramai selepas tular beberapa video dan foto yang membongkar kegiatan ubah suai projek perumahan rakyat secara haram.

Antara rumah flat kos rendah yang turut diubah suai di Petaling Jaya, Selangor.

Sepanjang minggu lalu, isu tersebut mendapat liputan meluas media tempatan dan perdebatan hangat di media sosial yang mempertikai tindakan tersebut dengan rata-rata mereka menuduh penghuni sebagai “tidak bermoral” dan pentingkan diri.

Mengulas mengenai itu, Zamani akur perbuatannya mengundang reaksi tidak senang dalam kalangan masyarakat tetapi keterdesakan dan kesempitan ruang itu menyebabkan dia tekad membuat pengubahsuaian rumah secara haram.

Dengan serba salah dan malu, dia berkongsi kisah anak bongsunya yang terpaksa dihantar ke sekolah tahfiz di Terengganu pada enam tahun lalu.

Ketika itu, anaknya berusia 15 tahun.

Disebabkan tiga orang anak perempuannya semakin dewasa, mereka memerlukan bilik dan privasi masing-masing.

Sedangkan anak bongsunya pula terpaksa tidur di ruang tamu.

Menjadi masalah, apabila hari tidak bersekolah, anaknya menjadi liar dan gemar keluar rumah sehingga lewat pagi.

“Dia sampai tak mahu duduk rumah. Saya dan isteri terpaksa hantar anak masuk sekolah tahfiz. Tempatkan dia di asrama. Kalau tak, tak merasalah dia tidur atas katil,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, tinjauan dalam talian menunjukkan reaksi marah masyarakat yang mempertikai senibina dan rekaan renovasi di kawasan flat kos rendah sehingga merupai rumah teres berkembar.

Sehubungan itu, mereka bertanya;

“Kenapa tidak beli rumah teres kalau berduit untuk ubahsuai rumah sebegitu rupa?”

Zamani berkata, dia sama sekali tidak akan mampu untuk memiliki dan tinggal rumah teres meskipun dengan menyewa bulanan.

“Duit simpanan yang ada setakat RM30,000 sahaja, mana nak dapat rumah teres?

“Tambah-tambah bodoh macam ini sahaja yang kita mampu,” katanya.

Rumah teres sederhana juga dilihat turut diubah suai dan dijadikan rumah dua atau tiga tingkat.

MalaysiaNow turut dimaklumkan mengenai kegiatan ubahsuai rumah teres kos sederhana sehingga ada yang bertukar menjadi sebuah rumah banglo tiga tingkat.

Menurut Zamani, tidak menghairankan mengapa penghuni di kawasan rumahnya berani melakukan renovasi haram, kerana orang kaya juga melakukan perkara yang sama.

“Tiada tindakan apa-apa pun. Elok sahaja rumah dia, kalau runtuh, kena rumah teres sebelah.

“Kenapa hanya kami di rumah-rumah flat buat (ubahsuai) orang marah?”

Mentaliti B40?

Selain ubahsuai rumah secara haram, berebut kawasan parkir, tidak menjaga kemudahan di kawasan perumahan dan buang sampah merata-rata juga sering dikaitkan dengan kelompok miskin bandar atau golongan berpendapatan rendah.

Rata-rata mendakwa golongan itu berfikir tidak rasional dan mempunyai mentaliti pemikiran yang rendah.

Sampah yang tidak diuruskan di koridor sebuah perumahan kos rendah di Petaling Jaya.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa kawasan flat kos rendah mendapati tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal itu amat kotor selain kemudahan awam seperti taman permainan dan pondok komuniti dalam keadaan amat daif.

Ketika ditanya, adakah penghuni perumahan kos rendah bersetuju dengan dakwaan sedemikian, seorang penduduk mahu dikenali sebagai Khai menyifatkan kehidupan mereka tidak dijaga dengan baik.

Jelasnya, kerajaan menyediakan rumah-rumah itu seperti “membuang” manusia ke dalam sangkar burung dan tidak mempedulikan nasib mereka selepas itu.

Khai, 23 tahun yang juga graduan jurusan antropologi dan sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menetap di rumah ibu bapanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang sejak berumur sembilan bulan.

Pemerhatiannya sebagai “budak PPR” mendapati kesusahan dan krisis yang dihadapi oleh penghuni tidak pernah dibela.

“Lif rosak, taman permainan sempit dan tidak mengikut spesifikasi keluasan yang ditetapkan. Siapa yang berani nak bertanggungjawab? Air selalu tak ada, orang tua angkut baldi sampai tingkat 11.

“Lepas diberi kunci rumah, mereka ini dibiarkan hidup dengan sendiri. Tak pelik kalau mereka banyak langgar peraturan, sebab mereka fikir tiada siapa akan marah dan peduli.

“Kemudian nak banding-bandingkan kami di PPR Malaysia dengan Singapura. Rumah di sana, ada balkoni, sistem keselamatan pengawal 24 jam setiap hari dan penyelenggaraan yang baik.

“Di sini, baru cakap ada barang hilang, terus tuduh budak-budak PPR hisap gam dan jadi pencuri,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.