- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan ibu bapa Teoh Beng Hock mulakan semakan kehakiman terhadap polis

Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Jun untuk pengurusan kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu Teoh Beng Hock, Teng Shuw Hor membawa gambar anak lelakinya di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada 12 Februari, 2011. Gambar: AFP
Ibu Teoh Beng Hock, Teng Shuw Hor membawa gambar anak lelakinya di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada 12 Februari, 2011. Gambar: AFP

Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock hari ini memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 13 tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan yang dikemukakan oleh Teoh Leong Hwee, 74, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 69.

Beliau berkata permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan menetapkan 30 Jun untuk pengurusan kes.

Prosiding hari ini dihadiri peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly serta peguam persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali dari AGC, yang bertindak bagi pihak ketua polis negara, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu bapa mendiang diwakili peguam Ramkarpal Singh, Harshaan Zamani dan Simranjit Kaur.

Menerusi permohonan yang difailkan pada 4 Jan lepas, pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Mereka juga menuntut deklarasi bahawa PDRM cuai serta cuba menafikan hak keperlembagaan pemohon di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan selain perintah mandamus agar ketua polis negara melengkapkan siasatan kematian Beng Hock dalam tempoh sebulan dari tarikh penghakiman.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, siasatan didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat pengarah Jabatan Siasatan Jenayah bertarikh 21 September 2021, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 Sept 2021.

Mereka mendakwa kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock telah dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh AGC untuk siasatan lanjut namun ia masih belum dilengkapkan oleh pihak polis walaupun insiden itu berlaku hampir 13 tahun lepas.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang merupakan pengerusi jawatankuasa tetap kerajaan tempatan, pemutihan kilang haram dan pembangunan kampung baru Selangor.

Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.