- Iklan -
Berita

‘Shafee batuk seakan Sean Connery’, prosiding kes pinda laporan audit Najib ditangguh

Prosiding hari ini yang dijangka akan mendengar permohonan memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi pendakwaan akan ditangguh pada Jumaat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Prosiding bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke hari Jumaat, apabila peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat.

Seorang lagi peguam Najib, Rahmat Hazlan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Shafee demam dan sakit tekak.

“Apabila dia (Shafee) hubungi saya pagi ini, suaranya seakan-akan ‘Sean Connery’. Dia belum ke klinik lagi, tapi akan ke sana nanti, dan dia akan hantar sijil cuti sakit (MC) ke mahkamah apabila dia memperolehnya nanti,” kata Rahmat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang nampak tertarik dengan penerangan Rahmat berkata, Connery bukanlah contoh yang baik kerana pelakon Hollywood itu telah meninggal dunia.

“Saya akan tangguhkan prosiding hari ini dan berharap Tan Sri (Shafee) pulih segera,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib berkata dalam keadaan sedemikian, pihak pendakwaan tidak membantah terhadap penangguhan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Jumaat ini untuk mendengar hujah lisan kedua-dua pihak berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil orang yang dituduh bersama Najib, yakni Arul, sebagai saksi mereka.

Najib dan Arul yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB hadir dalam prosiding hari ini.

Menurut jadual asal, Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan di bawah Seksyen 63 Akta 2009 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul bagi memberi keterangan sebagai saksi terhadap tertuduh bersamanya dalam kes itu, Najib.

Seksyen itu menyatakan bahawa dalam keadaan dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang sama ini, mahkamah mungkin memerlukan seorang atau lebih daripada mereka untuk memberikan keterangan sebagai saksi untuk pendakwaan, jika permohonan bertulis dibuat oleh pendakwa raya.

Pada 20 Mei lepas, ketua pihak pendakwaan kes berkenaan Gopal Sri Ram berhujah bahawa Arul mungkin mempunyai maklumat yang berkaitan dengan urusan dengan Najib, yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan ke atas Najib, yang bekas menteri kewangan.

Najib, 68, bekas perdana menteri, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.