- Iklan -
Berita

Pendedahan: Siasatan Perancis terhadap skandal rasuah libatkan projek MRT KL

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga syarikat di Malaysia berada di bawah radar penyiasat anti rasuah di Paris.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja di tapak bina Stesen MRT2 Titiwangsa bagi fasa pertama laluan Sungai Buloh-Putrajaya dalam gambar fail 26 November 2020.
Pekerja di tapak bina Stesen MRT2 Titiwangsa bagi fasa pertama laluan Sungai Buloh-Putrajaya dalam gambar fail 26 November 2020.

Pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan serius penipuan dan rasuah melibatkan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT), dalam apa yang dilihat sebagai satu lagi siasatan rasuah melibatkan kepentingan Perancis dan Malaysia semasa pentadbiran Najib Razak selepas kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang mendapat publisiti meluas beberapa tahun lalu.

MalaysiaNow difahamkan skandal itu melibatkan projek MRT2 bernilai kira-kira RM692 juta, dengan tumpuan siasatan kepada sebuah syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes penipuan kerana memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dijalankannya.

Projek MRT2 yang turut dikenali sebagai Laluan Putrajaya diluluskan oleh kerajaan pada 2015 adalah fasa kedua KVMRT.

Ia menghubungkan beberapa bandar ke Putrajaya, merangkumi 30 stesen sepanjang kira-kira 60km.

Projek itu juga turut menghubungkan laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Semakan MalaysiaNow dengan sumber yang mengetahui berhubung siasatan yang dilancarkan di Paris baru-baru ini mendedahkan senarai nama orang kenamaan termasuk seorang individu yang merupakan pembantu kanan bekas perdana menteri, termasuk seorang kerabat diraja.

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga syarikat Malaysia dipercayai berada di bawah radar penyiasat badan anti rasuah di Paris.

Salah satu daripadanya ialah Colas Rail System Engineering Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Colas Corporation (Colas SA), syarikatsenarai awam Perancis yang memulakan projek infrastruktur mega di beberapa negara, termasuk lebuh raya, lapangan terbang dan perumahan.

Tiga syarikat tempatan lain turut dinamakan.

Anak syarikat Colas di sekurang-kurangnya dua negara Afrika didapati terlibat dalam amalan rasuah bagi pelaksanaan kontrak projek pembinaan utama di sana.

Colas Rail System Engineering Sdn Bhd diperbadankan di Malaysia pada 2009 bagi tujuan mendapatkan kontrak pembangunan Greater Kuala Lumpur, sebuah projek urbanisasi mega merangkumi ibu kota dan metropolis utama di sekitar Lembah Klang.

Syarikat itu menggunakan perkhidmatan firma yang berpangkalan di Hong Kong bagi menyelia projek pembinaannya di Malaysia.

Pada 2011, firma Hong Kong membantu Colas Rail dalam menubuhkan CMC-Colas-Uniway, sebuah kerjasama antara Colas, CMC Engineering Sdn Bhd dan Uniway.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan tiga pengarah dan dua bekas pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dalam siasatan rasuah melibatkan projek MRT.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana meminta dan menerima rasuah.

MalaysiaNow sedang menghubungi pihak yang terlibat dengan siasatan bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Siasatan terhadap anak syarikat Colas di Malaysia bukan kali pertama dijalankan terhadap firma Perancis yang mempunyai projek di lebih 10 negara membangun di Asia dan Afrika.

Tahun lalu, Colas Djibouti mencapai penyelesaian dengan kerajaan AS bagi membayar AS$12.5 juta selepas mengaku membekalkan simen konkrit berkualiti rendah untuk digunakan dalam pembinaan lapangan terbang Tentera Laut AS di Djibouti.

Pihak berkuasa Djibouti turut mendakwa syarikat itu memalsukan keputusan ujian kualiti bahan yang digunakannya.

“Dalam satu contoh yang sangat teruk, dalam respons kepada permintaan pihak berkuasa bagi analisis air yang digunakan dalam campuran simen konkritnya, Colas Djibouti memberikan analisis bagi air minuman botol yang dibeli di kedai,” kata Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan tahun lalu.

Awal tahun ini, Colas Madagascar dikenakan sekatan oleh Bank Dunia berhubung amalan penipuan berkait projek pembangunan lapangan terbang di Madagascar.

Bank Dunia yang membiayai sebahagian projek itu berkata syarikat tersebut mengatur pertemuan yang tidak wajar dengan pegawai kerajaan semasa pemberian tender bagi konsesi selama 28 tahun untuk mengendalikan lapangan terbang itu.