- Iklan -
Berita

KPM lanjut tempoh khidmat guru sementara lantikan 2019 selama setahun

KPM berkata ia akan membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyelesaikan urusan temuduga lantikan tetap untuk guru-guru yang telah memenuhi syarat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Guru kelas bersama murid-murid ketika sesi persekolahan. Guru sementara lantikan 2019 bakal melanjutkan perkhidmatan mereka selama setahun lagi.
Guru kelas bersama murid-murid ketika sesi persekolahan. Guru sementara lantikan 2019 bakal melanjutkan perkhidmatan mereka selama setahun lagi.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan tempoh perkhidmatan guru sementara lantikan tahun 2019 akan dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi.

Dalam sebuah kenyataan, ia berkata lanjutan tempoh perkhidmatan itu akan membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyelesaikan urusan temuduga lantikan tetap untuk guru-guru yang telah memenuhi syarat.

Dalam pada itu, guru sementara yang dilantik sebelum 2019 perlu memenuhi syarat lantikan di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi membolehkan perakuan dibuat oleh KPM sebelum dikemukakan kepada SPP untuk urusan temuduga dan lantikan tetap.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata pada 9 mac lalu guru sementara bagi mata pelajaran bahasa Inggeris dilantik pada 29 April 2019 yang tamat tempoh perkhidmatan pada 21 April akan dilantik ke jawatan tetap jika mereka memenuhi syarat lantikan berkaitan.

Beliau berkata guru-guru berkenaan perlu memenuhi tahap kecekapan di bawah Common European Framework of Reference for Languages ​​(CEFR), atau CEFR C1 selain lulus temuduga.