- Iklan -
Berita

Kabinet umum larangan eksport ayam, mansuh permit import untuk gandum

Pengumuman hari ini adalah susulan pemansuhan permit import bagi sayur-sayuran termasuk kobis, kelapa, ayam dan susu bagi memastikan bekalan makanan cukup dan mengelak kenaikan harga.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pembeli mengambil bungkusan ayam yang dibelinya di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Seorang pembeli mengambil bungkusan ayam yang dibelinya di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Kabinet bersetuju untuk memansuhkan keperluan permit import bagi gandum dan melaksanakan larangan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai Jun sehingga pengeluaran dan harga stabil.

Minggu lalu, Ismail mengumumkan pemansuhan permit import bagi barangan termasuk kobis, kelapa tua, ayam dan susu bagi memastikan bekalan makanan mencukupi selain mengelak kenaikan harga barang.

Dalam sebuah kenyataan, Ismail berkata kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Katanya, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

Minggu lalu, Ismail mengumumkan pemansuhan permit import bagi barangan termasuk kobis, kelapa tua, ayam dan susu bagi memastikan bekalan makanan mencukupi selain mengelak kenaikan harga barang.

Selain larangan eksport ayam, Ismail turut mengumumkan beberapa langkah lain bagi menangani isu bekalan dan harga ayam ketika ini termasuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi) dan agensinya.

Beliau berkata Kabinet turut bersetuju untuk memansuhkan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

Selain itu, katanya kerajaan akan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Menurut Ismail, kerajaan sedar mengenai laporan kewujudan kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini,” katanya dan menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Dalam pada itu, Ismail turut berkata kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

Menurut Ismail, peguam negara yang turut hadir dalam mensyuarat Kabinet hari ini, telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai peruntukan di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

“Tindakan boleh diambil di bawah akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.”