- Iklan -
Berita

Sarawak gesa Putrajaya tingkatkan usaha bantu kanak-kanak tanpa kerakyatan

Menurut Fatimah Abdullah, langkah undang-undang dan usaha meningkatkan kefahaman mengenai pendaftaran kelahiran dan perkahwinan perlu dilaksanakan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ramai kanak-kanak, terutama di kawasan kampung berhampiran sempadan, tidak mempunyai kewarganegaraan, kata menteri Sarawak Fatimah Abdullah.
Ramai kanak-kanak, terutama di kawasan kampung berhampiran sempadan, tidak mempunyai kewarganegaraan, kata menteri Sarawak Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah menggesa kerajaan persekutuan untuk segera mengemukakan bantuan undang-undang bagi menangani isu kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Fatimah berkata penyelesaian sedemikian adalah penting bagi memastikan kanak-kanak tanpa kerakyatan dan tanpa dokumen sah mendapat pendidikan di sekolah.

“Di Sarawak, kanak-kanak tanpa kerakyatan masih boleh mendaftar ke sekolah kerajaan tetapi perlu membayar yuran.

“Bagi sekolah rendah, yuran ialah RM120 setahun dan RM240 setahun bagi sekolah menengah,” katanya.

Menurutnya, melalui kaedah tersebut terdapat 1,225 kanak-kanak tanpa kerakyatan bukan warganegara yang mendaftar dan diterima masuk ke sekolah kerajaan.

Setakat 31 Mac 2022, Jabatan Pendidikan Sarawak meluluskan sebanyak 77 permohonan untuk kemasukan sekolah rendah dan 119 permohonan untuk sekolah menengah.

Beliau berkata pendaftaran bagi anak tanpa dokumen dan mempunyai salah seorang ibu bapa warganegara Malaysia memerlukan surat pengesahan sama ada daripada ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), pegawai daerah, ketua kampung atau ketua rumah panjang.

Fatimah berkata beliau juga dimaklumkan jabatan pendidikan turut membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan ini, melalui kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak dan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

Fatimah turut mencadangkan supaya program pendidikan mengenai kepentingan mendaftar perkahwinan melalui libat urus ketua masyarakat di kampung-kampung yang terletak di kawasan sempadan.

Beliau menambah program pendidikan inklusif dan langkah konkrit juga perlu dibuat bagi menggalakkan pendaftaran kelahiran baru.

Beliau berkata kes tanpa kerakyatan di Sarawak membabitkan pasangan yang tidak mendaftar perkahwinan antara rakyat Malaysia dan warga asing semakin meningkat, terutama dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kampung berhampiran sempadan negara.

“Hal ini menyebabkan kanak-kanak itu tidak berwarganegara, dan prosedur untuk mendaftar akan menjadi rumit kerana ia memerlukan pelbagai dokumen bagi membuktikan status kanak-kanak itu.”

Beliau berkata kementeriannya komited membantu kanak-kanak ini memohon kewarganegaraan.

“Oleh itu, kami berharap kanak-kanak atau ibu bapa yang mempunyai masalah kewarganegaraan libatkan anak mereka masih boleh memohon masuk ke sekolah,” katanya.

Sarawak merancang untuk mengeluarkan dokumentasi sementara untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan bagi akses pendidikan di sekolah awam dan perkhidmatan perubatan pada kadar bayaran yang sama seperti warganegara.

Sebelum ini, Fatimah berkata akses pendidikan dan kesihatan adalah hak asasi manusia dan kerajaan negeri sedia untuk membantu golongan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri itu.