Nilai mata wang jatuh, Pakistan larang import barangan ‘tidak perlu’
Langkah tersebut bagi menjimatkan tukaran asing selepas rupee jatuh mendadak berbanding dolar AS.
Terkini
Kerajaan Pakistan melarang import barangan “tidak perlu” dalam usahanya untuk menjimatkan tukaran asing memandangkan nilai mata wang jatuh mendadak berbanding dolar AS sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pada Khamis nilai satu dolar AS adalah 200 rupee berbanding 182 rupee pada sebulan yang lalu.
“Keputusan saya untuk melarang import barangan mewah dapat jimatkan tukaran asing negara,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Barangan itu termasuk kereta, telefon bimbit, peralatan rumah, pinggan mangkuk, bagasi, syampu, peralatan mandian, daging sejuk beku, rokok, alat solek dan muzik.
Menteri Penerangan Marriyum Aurangzeb berkata terdapat “situasi kecemasan” dan rakyat Pakistan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
Beliau berkata defisit perdagangan di Pakistan sudah berada pada tahap serius.
“Kami mempunyai kapasiti dan pengalaman untuk menyelesaikan isu ekonomi semasa. Langkah yang diambil untuk larang barangan import bertujuan menstabilkan ekonomi,” kata Marriyum dalam satu sidang media pada Khamis.
Beliau berkata larangan import barangan bukan keperluan itu dapat menjimatkan US$6 bilion setahun dan meningkatkan industri pembuatan domestik.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.