- Iklan -
Berita

Kerajaan sasar dapatkan semula bahagian pasaran minyak sawit di Eropah

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia 'tidak akan mensia-siakan peluang' yang timbul daripada krisis di Eropah ketika ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia dan Indonesia menguasai 85% eksport minyak sawit di pasaran global.
Malaysia dan Indonesia menguasai 85% eksport minyak sawit di pasaran global.

Kerajaan mengambil peluang untuk memanfaatkan situasi kekurangan bekalan minyak masak global dan “ketegangan politik di Eropah” untuk kembali mendapatkan bahagian pasaran selepas pembeli mula menjauhi komoditi itu atas alasan menjaga alam sekitar.

Minyak sawit merupakan bahan yang digunakan untuk membuat pelbagai produk industri termasuk kosmetik seperti gincu sehingga industri pembuatan mi.

Bagaimanapun, pengeluar terbesar komoditi itu seperti Indonesia dan Malaysia berdepan krisis selepas tindakan beberapa negara memboikot produk sawit ekoran tuduhan pembalakan hutan bagi penanamannya selain dakwaan industri itu mengeksploitasi pekerja asing.

Ekoran dakwaan tersebut, beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa syarikat telah memperkenalkan “produk bebas minyak sawit”.

Sementara Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan pembeli Minyak sawit ketiga terbesar di dunia memutuskan untuk menghentikan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit secara berperingkat menjelang 2030.

Walaupun begitu, syarikat peruncit seperti rangkaian pasar raya Britain, Iceland, yang tidak lagi menggunakan minyak sawit dalam produk makanannya sejak 2018, telah dipaksa untuk kembali menggunakan komoditi kontroversi itu sejak beberapa bulan kebelakangan kerana kekurangan bekalan minyak masak global akibat perang Rusia-Ukraine selain tindakan Indonesia yang menguatkuasakan larangan eksport minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata kerajaan “tidak akan mensia-siakan peluang” daripada krisis yang berlaku ketika ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha dałam menentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit.

“Kita juga perlu mempamerkan pelbagai manfaat kesihatan minyak emas ini,” katanya.

Zuraida berkata harga minyak masak di peringkat global berkemungkinan kekal tinggi pada separuh pertama 2022.

Beliau menjangkakan permintaan EU akan meningkat dalam tempoh terdekat berikutan situasi kekurangan bekalan minyak bunga matahari dan soya yang dihadapi dunia ketika ini.

Fediol yang merupakan syarikat minyak sayuran EU pada Selasa berkata larangan yang dikuatkuasakan Indonesia tidak membimbangkan kerana ia mempunyai rizab minyak sawit bagi tempoh beberapa minggu.

Ketidakpastian berhubung bekalan minyak bunga matahari ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mendorong permintaan bagi minyak sawit dan soya apabila banyak pengimport mencari alternatif lain.

Zuraida berkata Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada perubahan trend permintaan ini dan akan melaksanakan “kempen yang agresif” bagi mengisi jurang bekalan global dalam jangka masa panjang.

Malaysia dan Indonesia menyumbang 85% daripada pengeluaran minyak sawit global.

Kedua-dua negara berpendirian sekatan EU terhadap bahan api berasaskan minyak sawit adalah diskriminasi dan telah melancarkan usaha menangani krisis tersebut menerusi sistem dagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).