- Iklan -
Berita

Ratusan iringi persemadian Nagaenthran

Suasana pilu menyelubungi perkarangan krematorium sepanjang proses persemadian tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Keranda Nagaenthran K Dharmalingam dibawa untuk disemadikan di Tanjung Rambutan, Perak. Gambar: Bernama
Keranda Nagaenthran K Dharmalingam dibawa untuk disemadikan di Tanjung Rambutan, Perak. Gambar: Bernama

Jasad rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura Rabu lepas, telah disemadikan di Hindu Crematorium Buntong semalam.

Jasadnya selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat India, selepas dibawa dari rumahnya di Tanjung Rambutan pada pukul 3 petang dan tiba di pusat krematorium itu kira-kira pukul 4 petang.

Suasana pilu ternyata menyelubungi perkarangan krematorium itu, apabila kalangan lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai mendiang yang hadir, tidak dapat menahan kesedihan selain ada yang nampak tenang sejurus jasad Nagaenthran tiba.

Mereka yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan kira-kira pukul 5 petang.

Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu mendiang S. Panchalai, 60, untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianow

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.