- Iklan -
Berita

Maria Chin dipenjara 7 hari kerana kritik hukuman penjara bekas isteri bos Naza

Mahkamah Tinggi Syariah menyampaikan hukuman itu selepas beliau didapati menghina sistem Mahkamah Syariah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah. Gambar: AFP
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah. Gambar: AFP

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menerima hukuman penjara tujuh hari kerana menghina mahkamah berhubung kritikannya terhadap hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza Group SM Faisal SM Nasimuddin.

Hakim Fouzi Mokhtar berkata Maria didapati bersalah menghina mahkamah berikutan ulasannya pada 5 September 2018 mengenai keputusan mahkamah untuk memenjarakan Emilia Hanafi selama tujuh hari selepas tidak mematuhi hak lawatan anak yang diberikan kepada Faisal selain menjadualkan semula lawatannya.

Beliau merujuk kenyataan Maria yang bertajuk “Emilia Faisal Hanifi’s sentencing proves injustice against Muslim women still exists in the legal system”.

“Tajuk yang digunakan oleh responden (Maria Chin) dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi Mahkamah Syariah di mata awam. Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.

“Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 September 2019.

“Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria dihukum penjara tujuh hari mulai hari ini,” kata hakim itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Pada 10 September 2019, SM Faisal, yang merupakan pengarah Naza World Group dan ibunya Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Oktober 2019.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syarie Mohamed Fouzi berkata kenyataan responden bukan tergolong dalam komen yang adil, bahkan seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes yang tersasar dan tidak berkaitan.

“Kenyataan yang dibuat ini tidak berdasarkan fakta sebenar yang berlaku di dalam penghakiman mahkamah itu sendiri dan menjerumuskan responden kepada salahnyataan dan penghinaan kepada mahkamah ini.

“Sudah tentu, dengan kenyataan yang bersifat memburukkan, skandal, bersifat negatif, menuduh dengan menggunakan fakta yang tidak tepat boleh menyebabkan kepercayaan awam kepada Mahkamah Syariah semakin terjejas teruk akibat tindakan responden,” katanya.

Hakim syarie itu berkata responden sengaja menghina mahkamah itu dengan menyatakan bahawa mahkamah melakukan diskriminasi kepada Emilia bahkan kepada wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan keadilan di mahkamah.

“Fakta sebenarnya adalah semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang mana responden sebagai ahli Yang Berhormat turut berada di dalamnya dan dikuatkuasakan dengan kelulusan dan persetujuan ahli yang berhormat.

“Mahkamah ini hanya melaksanakan keadilan yang dibenarkan oleh undang-undang yang telah diluluskan oleh ahli Yang Berhormat dan menguatkuasakan keadilan tanpa mengira jantina berdasarkan tuntutan pihak-pihak tersebut,” kata hakim itu.

Katanya sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, responden seharusnya lebih mengetahui bahawa mahkamah itu hanya akan memutuskan kes setelah semua prosedur ditetapkan telah dipenuhi dan hanya berdasarkan wujud bukti yang jelas.

Hakim syarie itu turut berkata sebagai ahli Parlimen yang berperanan meluluskan sesuatu undang-undang, adalah tidak wajar bagi responden mempertikai dan merendahkan serta menghina undang-undang dan mana-mana mahkamah semasa mahkamah itu menjalankan tugasnya.

“Bahkan sebagai ahli Yang Berhormat, responden mempunyai cukup ruang dan tempat yang luas untuk mendapatkan maklumat yang tepat selain memberi pandangan dan cadangan yang baik dan adil untuk kebaikan mahkamah ini,” katanya.