- Iklan -
Berita

Pemimpin NGO, aktivis PKR kunci mulut isu lantikan Nurul Izzah

Usaha MalaysiaNow mendapatkan pandangan daripada beberapa individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu integriti seperti Maria Chin Abdullah dan Ambiga Sreenevasan tidak mendatangkan hasil.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13, 4 Mei 2013. Gambar: AFP
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13, 4 Mei 2013. Gambar: AFP

Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri menyaksikan segelintir aktivis PKR serta NGO yang memperjuangkan isu "integriti" selama ini mengunci mulut.

Usaha MalaysiaNow mendapatkan pandangan daripada beberapa individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu integriti seperti Maria Chin Abdullah dan Ambiga Sreenevasan tidak mendatangkan hasil.

Ketika dihubungi, Maria Chin yang juga ahli PKR dan bekas ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, beliau enggan mengulas memandangkan sudah ramai memberikan pandangan berhubung lantikan tersebut.

"Ramai sudah berkata, jadi cukuplah. Nanti jadi kontroversi," katanya ringkas kepada MalaysiaNow.

Terdahulu, pelantikan anak sulung perdana menteri itu sebelum ini dikritik ramai apabila keputusan tersebut dianggap sebagai amalan nepotisme dan kronisme, dua perkara yang paling ditentang Anwar Ibrahim setelah sekian lama ketika berada di pihak pembangkang.

Meskipun Anwar menolak dakwaan itu dan menegaskan lantikan terbabit adalah lebih bersifat "sukarela" dan pro bono, orang ramai tetap mempersoalkan keputusan tersebut dan menyarankan supaya ahli Parlimen Tambun itu menilai semula keputusan tersebut.

Sementara itu, Ambiga yang merupakan bekas pengerusi Bersih pula tidak dapat dihubungi. 

Pada masa sama, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mentafsirkan bahawa lantikan Nurul Izzah memegang jawatan itu adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Katanya, tindakan ini berpotensi dijadikan sebagai penanda aras kepada pemimpin politik lain untuk melantik ahli keluarga memegang jawatan penting dalam kerajaan pada masa hadapan.

"Amalan ini tidak pernah dilakukan selama ini, ia nampak luar biasa," kata Sanusi dalam laporan Berita Harian.

"Kalau dia (Nurul Izzah) tak ambil gaji, perjawatan dia macam khidmat sosial pula, lebih baik dia pergi buat kerja badan bukan kerajaan (NGO) sebab kerja NGO tak dapat bayaran.

“Tetapi dia kerja untuk menasihati polisi kerajaan, jaga perolehan, mahu memastikan tender diurus dengan betul. Itu kerja pegawai kerajaan.”

Nurul Izzah sebelum mendedahkan beliau dilantik memegang jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari lalu sebelum Anwar memaklumkan bahawa anaknya itu tidak menerima sebarang bayaran gaji atau elaun.

Menurut Anwar, antara tanggungjawab Nurul Izzah ialah memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender supaya lebih teratur.

Sementara itu, mengulas dari sudut positif, penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng berpandangan lantikan ini akan meletakkan Nurul Izzah di bawah tekanan yang berterusan apabila gerak-gerinya akan terus diperhatikan semua pihak.

Katanya, ini akan mendorong bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk terus berhati-hati dan memastikan sebarang keputusan tidak akan bercanggah dengan soal integriti dan meragukan.

"Dari perspektif alternatif, beliau (Nurul Izzah) akan terus diperhatikan kerana beliau dikaitkan sebagai anak perempuan kepada perdana menteri.

"Ini boleh mendorong kepada aspek positif bahawa beliau akan terus berada di bawah tekanan untuk melaksanakan terbaik.

"Dari perspektif ini, nepotisme menjadi persoalan kedua manakala keberkesanan pelaksanaan dan mengadaptasi penyelesaian terbaik akan menjadi perhatian utama," katanya kepada MalaysiaNow.