- Iklan -
Berita

Presiden Turki beri amaran terhadap ancaman ke atas Al-Aqsa

Erdogan berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Isaac Herzog mengenai insiden membabitkan 'beberapa kumpulan radikal Israel dan pasukan keselamatan di Palestin'.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Satu suar rusuhan meletup di luar Pintu Damsyik Baitulmaqdis semasa pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel pada 3 April. Gambar: AFP
Satu suar rusuhan meletup di luar Pintu Damsyik Baitulmaqdis semasa pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel pada 3 April. Gambar: AFP

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menggesa rakan sejawatnya dari Israel, Isaac Herzog supaya tidak membenarkan “provokasi dan ancaman” terhadap status dan kesucian Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Dalam catatan di akaun Twitternya, Erdogan berkata beliau mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan Herzog mengenai isu serantau dan hubungan dua hala, terutamanya insiden membabitkan “beberapa kumpulan radikal Israel dan pasukan keselamatan di Palestin”.

Erdogan “amat kecewa” dengan insiden di Tebing Barat dan perkarangan Masjid Al-Aqsa yang menyebabkan rakyat Palestin cedera atau terbunuh sejak bermulanya Ramadan.

Saban tahun insiden berpunca daripada pihak radikal ini mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, ketegangan antara Israel dan Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur kian memuncak.

Kira-kira 200 rakyat Palestin cedera dalam gelombang pertempuran baru-baru ini, terutamanya di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Perbincangan itu diadakan di tengah-tengah usaha perdamaian antara Israel dan Turki, yang hubungan kedua-duanya tegang sejak 2010.