- Iklan -
Berita

Suhakam gesa Putrajaya contohi Sarawak beri kanak-kanak tanpa kerakyatan dokumen sementara

Pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam berkata langkah yang diambil kerajaan Sarawak tersebut adalah satu perubahan utama dalam pentadbirannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak berkata dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan memudahkan mereka untuk mendapatkan akses pendidikan dan perubatan.
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak berkata dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan memudahkan mereka untuk mendapatkan akses pendidikan dan perubatan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Aziah Mohd Awal menyambut baik keputusan Sarawak untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara bagi memberikan akses kepada sekolah kerajaan dan perkhidmatan perubatan dengan kadar bayaran yang sama seperti warganegara Malaysia.

Menurut Aziah, langkah yang diumumkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah tersebut merupakan perubahan baik pentadbiran utama yang memihak kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

Sehubungan itu, Aziah menggesa Putrajaya untuk turut mengikut langkah yang diambil Sarawak dan melaksanakannya di seluruh negara.

“Sejak penubuhannnya, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak menerima banyak aduan berkaitan isu tiada kewarganegaraan, termasuk kelewatan dalam pendaftaran persekolahan, penolakan kemasukan ke sekolah, kesukaran mendapatkan akses kepada pendidikan dan kos perubatan yang tinggi.

“Perkara ini bertentangan dengan kewajipan antarabangsa Malaysia selaku negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), untuk memastikan semua institusi menjadikan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama dalam semua tindakan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Aziah turut mengingatkan kerajaan pendirian bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang mahu pendidikan diberikan kepada semua kanak-kanak.

Ia juga turut dibangkitkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan beliau pada Hari Kanak-Kanak 2021 setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya dan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran, mencapai potensi penuh dan mengejar impian mereka.

“Pesuruhjaya kanak-kanak (CC) memohon kerajaan persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha progresif mereka memastikan pihak-pihak berkepentingan dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan mengiktiraf dokumen sementara.

“Selain daripada pencabulan hak kepada kewarganegaraan, orang tanpa kewarganegaraan sering terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia yang lain.

“Oleh itu, CC merayu kepada kerajaan persekutuan untuk menerima pakai langkah yang sama untuk dilaksanakan di semua negeri.”