- Iklan -
Berita

13,255 guru ditempatkan melalui program pengambilan secara ‘one off’

Masih terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas tersebut yang perlu diisi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seramai 13,770 guru baru diberikan jawatan dalam pengambilan khas tahun ini.
Seramai 13,770 guru baru diberikan jawatan dalam pengambilan khas tahun ini.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini berkata seramai 13,255 orang guru ditempatkan sehingga 28 Mac di bawah program secara “one off” untuk menyelesaikan masalah kekurangan pendidik di seluruh negara.

Dalam jawapan bertulis kepada ahli Dewan Negara Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Bersatu yang bertanyakan tentang status pengambilan tersebut, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata baki 515 orang lagi akan ditempatkan bermula 11 April akan datang.

“Berdasarkan status terkini, masih terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon-calon yang layak,” katanya.

Menurut Radzi, pengambilan khas secara “one-off” tersebut telah menyerap 18,702 orang pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa melantik.

Radzi berkata pengambilan guru baru KPM adalah berdasarkan kekosongan jawatan dan padanan opsyen mata pelajaran.

Beliau turut menambah KPM telah memperkenalkan kaedah kluster mata pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Berhubung kriteria pemilihan, beliau berkata keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara.

“Calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga SPP,” katanya.

Beliau turut berkata SPP telah selesai melaksanakan urusan pelantikan dan tawaran pelantikan telah diumumkan secara berperingkat dan setakat ini, seramai 13,770 orang calon telah berjaya ditawarkan lantikan tetap.