- Iklan -
Berita

Pengajaran bagi Malaysia daripada perang di Ukraine

Menurut penganalisis, Malaysia perlu tingkatkan kemampuan teknologi dan aset, selain tidak terlalu bergantung kepada satu-satu blok utama dunia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Demonstrasi anggota tentera menggunakan helikopter Eurocopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia sempena sambutan Hari Tentera Malaysia ke-89 di Kem Segenting, Port Dickson pada 1 Mac. Gambar: Bernama
Demonstrasi anggota tentera menggunakan helikopter Eurocopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia sempena sambutan Hari Tentera Malaysia ke-89 di Kem Segenting, Port Dickson pada 1 Mac. Gambar: Bernama

Penganalisis berkata Malaysia wajar mengambil beberapa pengajaran geopolitik daripada operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine yang kini hampir genap sebulan di mana sekatan global terhadap Moscow terus meningkat.

Rusia dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap Ukraine yang condong ke arah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Sementara Nato dan Kesatuan Eropah (EU) juga dikecam selepas dilihat membiarkan Ukraine “terkapai-kapai” walaupun memberikan pelbagai bantuan kepada negara Eropah Timur itu dan mengenakan sekatan terhadap Rusia.

Mizan Mohammad Aslam, pakar kajian strategik dan anti-keganasan dari Universiti Malaysia Perlis berkata, Malaysia sebagai pengguna aset ketenteraan Rusia bakal terkesan dengan sekatan-sekatan tersebut.

“Kita amat bergantung kepada teknologi persenjataan dari Rusia kerana kita memiliki MiG-29 dan Sukhoi. Keadaan sebegini pastinya boleh menjejaskan keselamatan ruang udara kita, kerana tanpa alat ganti atau kelengkapan ketenteraan berkaitan, kita tidak mampu mengawal ruang udara sedia ada,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mizan merujuk kepada 18 pesawat tempur Sukhoi yang dibeli Malaysia pada 2003.

Sebelum itu Malaysia mengoperasikan 18 pesawat MiG-29 yang dibeli pada 1995.

Kesukaran mendapat alat ganti antara punca MiG-29 dihentikan operasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Rusia sebelum ini menawarkan untuk membeli balik kesemua jet tersebut dan menawarkan jet terbaru keluaran negara itu.

Namun sekatan juga bakal menyempitkan pilihan Malaysia dalam perolehan dua jenis jet pada masa depan, pesawat tempur ringan (LCA) dan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA).

Oh Ei Sun, penganalisis politik dan antarabangsa dari Singapore Institute of International Affairs berkata, pertimbangan Malaysia terhadap aset-aset buatan Rusia bergantung kepada sejauh mana negara mampu “bermusuhan” dengan Amerika Syarikat (AS).

“Jika kita tidak kisah kemarahan AS, kita boleh terus membeli persenjataan berat daripada Rusia, selain latihan, penyelenggaraan dan alat ganti kepada senjata Rusia sedia ada,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika kita kisah, untuk waktu ini kita tidak akan membeli apa-apa dan latihan, penyelenggaraan serta alat ganti persenjataan sedia ada akan menjadi persoalan.”

Bagi Mizan, Malaysia perlu mempelbagaikan perolehan aset ketenteraan.

Memiliki jet pejuang dari kedua-dua blok Barat dan Timur penting untuk tidak bergantung kepada satu sumber.

“Kita perlu menyeimbangkan pemilikan persenjataan daripada kedua-dua blok.

“Negara perlu buat perjanjian tidak rasmi, secara tersembunyi kita mendapatkan alat ganti atau apa sahaja berkaitan jika perlu. Tidak semua maklumat ketenteraan perlu didedahkan kepada umum.”

Malaysia turut mengoperasikan lapan unit F-18 Hornet keluaran AS.

AS turut menawarkan pesawat Super Hornet sebagai calon jet pejuang MRCA Malaysia namun tidak disambut atas faktor kewangan.

Bagi Oh, krisis di Ukraine mengajar Malaysia bahawa harga tidak boleh menjadi keutamaan berhubung perolehan pertahanan.

Katanya, kepelbagaian aset dan pertimbangan geopolitik mesti menjadi keutamaan.

Ukraine juga memberi gambaran bagaimana pakatan pertahanan tidak mampu membantu satu-satu negara apabila ia diserang musuh.

Ini sekali gus menimbulkan persoalan tentang diplomasi pertahanan yang sering disebut-sebut di Malaysia.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong jelas berkata negaranya tidak boleh mengharapkan kuasa luar.

Hanya rakyatnya sahaja yang mampu mempertahankan republik tersebut.

Meskipun Malaysia merupakan anggota Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA), hubungan itu bersikap “non-binding” dan tidak membabitkan komitmen tertentu untuk campur tangan ketenteraan walaupun berlaku serangan ketenteraan terhadap Malaysia atau Singapura.

Oh berkata, dari satu sudut, Malaysia terperangkap dalam dilema.

“Sudah tentu kita boleh untuk tidak bergantung kepada sekutu untuk membantu kita, tetapi sebagai negara yang aman, kita tidak membuat persediaan secukupnya untuk berperang.”

Menurut Mizan, di Malaysia, taktikal peperangan dan kemampuan tidak lagi menjadi pertikaian kerana sudah terbukti dan teruji, tetapi yang menakutkan adalah kemampuan teknologi dan aset ketenteraan yang lemah.

“Negara perlu ‘rakan’ strategik yang dapat membantu dan bekerjasama jika keadaan memerlukan. Kerjasama serantau amat kritikal ketika ini apabila kita menghadapi ancaman dari kedua-dua blok,” katanya.

Sebagai negara yang mempunyai taruhan dan tuntutan di Laut China Selatan, Malaysia juga wajar menumpukan fokus terhadap reaksi China.

Pemerhati-pemerhati Barat sebelum ini menyatakan serangan itu bakal memotivasikan tuntutan negara itu terhadap Taiwan dan kawasan-kawasan Laut China Selatan.

Sebelum ini, pada Jun tahun lalu sebanyak 16 pesawat Ilyushin Il-76 milik negara itu menceroboh ruang udara Malaysia dan dipintas oleh pesawat Hawk TUDM.

“Malaysia perlu kepada sokongan Barat dan Rusia untuk mengekalkan kedaulatan wilayah negara jika diceroboh. Kedua-dua blok, sama ada AS mahupun China adalah ancaman nyata kepada negara.

“Mereka mempunyai kepentingan tersembunyi. Negara perlu bijak mengatur langkah agar tidak terperangkap dengan muslihat mereka,” kata Mizan.

.