- Iklan -
Berita

Laluan sempadan darat ke Singapura dibuka semula tanpa jalani kuarantin

Pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap divaksinasi dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas sempadan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Jalan keluar masuk antara Singapura dan Johor. Ramai rakyat Malaysia di Johor bekerja di republik itu. Gambar: AFP.
Jalan keluar masuk antara Singapura dan Johor. Ramai rakyat Malaysia di Johor bekerja di republik itu. Gambar: AFP.

Bermula 1 April depan, pengembara yang m lengkap divaksinasi akan dibenarkan untuk melakukan perjalan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura melalui jalan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau ujian saringan Covid-19, termasuk sebelum perlepasan dan ketika ketibaan.

Dalam sebuah kenyataan bersama, pejabat perdana menteri Malaysia dan Singapura berkata keputusan tersebut dibuat selari dengan peralihan kedua-dua negara untuk hidup bersama virus Covid-19.

“Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April 2022, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

Dalam pada itu, rakan sejawatnya Lee Hsien Loong berkata pengumuman tersebut menunjukkan kedua-dua negara menikmati hubungan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua-dua negara muncul lebih kuat daripada krisis Covid-19.

Sempadan darat Malaysia-Singapura ditutup pada Mac 2020 sebagai sebahagian usaha untuk membendung penularan Covid-19.

Sebelum pandemik, kira-kira 300,000 warga Malaysia merentas sempadan ke Singapura pada setiap hari.

Laluan Perjalan Vaksin Lengkap (VTL) juga dilancarkan kedua-dua negara pada November lalu, di mana pengembara yang lengkap divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan masuk dan keluar dari kedua-dua negara selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri.

Kerajaan Singapura berkata pada Februari pihaknya sedang berbincang untuk memperluaskan inisiatif VTL dengan memasukkan kenderaan persendirian dan bas ke dalam senarai pengangkutan yang dibenarkan.