- Iklan -
Berita

Exco baru Johor angkat sumpah jawatan Sabtu ini

Majlis mengangkat sumpah lantikan itu akan diadakan di Istana Bukit Serene.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Istana Bukit Serene di Johor Bahru. Gambar: Bernama
Istana Bukit Serene di Johor Bahru. Gambar: Bernama

Barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Johor yang baru akan mengangkat sumpah jawatan Sabtu ini setelah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam sebuah hantaran di Facebook, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata istiadat mengangkat sumpah itu akan diadakan di Istana Bukit Serene.

“Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sultan yang dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim titah perkenan majlis angkat sumpah ahli-ahli exco akan diadakan pada Sabtu.

“Menjunjung kasih Tuanku. Allah peliharakan sultan,” kata Onn.

Pada 16 Mac lepas, Onn Hafiz secara rasminya memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Sultan Johor di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, pada 15 Mac.

Barisan Nasional meraih kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lepas, apabila berjaya memperoleh majoriti dua pertiga, dengan kemenangan 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.