- Iklan -
Berita

Menjadi Melayu dan tiada kerakyatan di Malaysia

Status tanpa kerakyatan menjadi masalah selepas ibu bapa tidak mendaftar perkahwinan menyebabkan proses dokumentasi anak-anak terganggu.

Nur Hasliza Mohd Salleh & Syaza Norazharuddin
3 minit bacaan
Kongsi
Kak Yana (bukan nama sebenar) ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai kehidupannyakeluarganya yang tiada kerakyatan di Lembah Subang, Petaling Jaya.
Kak Yana (bukan nama sebenar) ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai kehidupannyakeluarganya yang tiada kerakyatan di Lembah Subang, Petaling Jaya.

Di blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya beberapa keluarga Melayu, India, Cina dan warga asing hidup bersama dalam suasana harmoni.

Ruang jalan yang sempit di kawasan PPR itu kelihatan penuh dengan kenderaan yang diparkir tidak bersusun, sampah sarap dihurung lalat juga turut mengganggu pandangan mata.

Beberapa lot kedai di PPR itu juga banyak yang ditutup dan terabai dan sepi.

Di sanalah, seorang ibu, Kak Yana (bukan nama sebenar) menetap sejak lebih kurang 18 tahun lalu.

Dia yang berasal dari negara jiran dan mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki warganegara Malaysia.

Tahun lalu, suaminya meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Kini, dia dan enam anaknya hilang tempat bergantung, namun ada masalah yang lebih dibimbangi Kak Yana.

Anak-anaknya tidak didaftarkan sebagai warga Malaysia.

Suasana PPR Lembah Subang, Petaling Jaya di mana Kak Yana bersama keluarganya tinggal sejak 18 tahun lalu.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bayi yang lahir di luar negara dengan bapa memiliki kewarganegaraan Malaysia akan dianugerahkan taraf kerakyatan secara automatik.

Bagaimanapun, dokumen seperti sijil kahwin amat diperlukan dalam proses permohonan kewarganegaraan anak-anak di kaunter-kaunter urusan agensi kerajaan.

“Bukan tak usaha, dah usaha. Tapi ada yang mereka (pejabat agama) minta bawa saksi kahwin.

“Macam mana nak bawa saksi itu, dah 24 tahun kahwin, kami pun dah tak ingat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Yana memberitahu, dirinya pernah ditawarkan untuk mendapat kad pengenalan sah melalui seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai “wakil kerajaan”.

Bagaimanapun, individu berkenaan meminta bayaran berjumlah RM7,000 sebagai balasan.

“Dia kata dah siap semua baru bayar macam yang dia bantu seorang dari Sabah. Maksudnya memang dia ada buatlah kerja tu.

“Saya ni ada duit ke nak buat? Kalau RM100 atau RM200 kita boleh beri, tapi nak ke dia terima?

“Kalau saya ditangkap pula macam mana?”

Rata-rata anak-anak muda di PPR itu bekerja dalam pelbagai sektor menggunakan kelulusan akademik masing-masing.

Tidak kurang juga ramai yang mencari makan melalui pekerjaan dalam ekonomi gig.

Namun, disebabkan faktor kerakyatan, anak-anak tanpa dokumentasi ini hanya mampu bekerja am seperti buruh kasar dan bekerja sendiri.

Dokumentasi tidak lengkap

Di PPR itu juga, terdapat kira-kira 20 keluarga yang tidak mempunyai kerakyatan.

Ini tidak termasuk keluarga yang masih belum tampil berkongsi masalah yang sama.

Mereka ini sering disalah anggap sebagai pendatang tanpa izin, pelarian dan pekerja asing walaupun dilahirkan di Malaysia.

Golongan tanpa kerakyatan di seluruh negara dianggarkan kira-kira sejuta orang.

10,000 daripada jumlah itu dipercayai berada di semenanjung.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Surau Al Firdaus, Mahmud yang menyelaras salah satu surau di kompleks perumahan berkenaan sudah maklum dengan masalah-masalah tersebut.

Pengerusi jawatankuasa Surau Al Firdaus ketika ditemu bual MalaysiaNow.

“Mereka ni memang orang Malaysia. Cumanya, ada dokumen-dokumen diri mereka yang tak lengkap jadi susah untuk mohon kerakyatan sini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kebanyakan kes, kanak-kanak di kawasan itu menjadi warga tanpa kerakyatan kerana ibu bapa yang berwarganegara Malaysia tidak mendaftarkan anak-anak mereka.

Mahmud berkata, ada juga banyak kes di mana ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dalam mendaftarkan perkahwinan mereka di institusi agama.

Tanpa kad pengenalan sah, mereka yang tiada kerakyatan dinafikan akses kepada pendidikan dan hak mendapatkan perkhidmatan di fasiliti awam seperti hospital.

Lazimnya,tiada kerakyatan diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang berikutnya.

Meskipun begitu, Yana tidak berputus asa untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri buat anak-anaknya terutama sekali anak perempuannya yang berusia 18 tahun.

Beliau berharap, anaknya itu bertemu jodoh dengan lelaki warganegara Malaysia.

“Kalau kahwin dengan rakyat Malaysia, anak saya boleh dapat kad pengenalan merah.

“Dia boleh kerja, dan anak-anak boleh ada kad pengenalan juga,” katanya.