- Iklan -
Berita

Hadkan aktiviti di lokasi berisiko pada sebelah petang, kata jabatan meteorologi

Orang ramai dinasihatkan elak lokasi berisiko seperti sungai perlu dijauhi berikutan ribut petir yang sering berlaku pada masa ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
MetMalaysia berkata mereka yang ingin turun ke laut atau berkunjung ke pulau peranginan perlu peka dengan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi membolehkan perjalanan dirancang sebaiknya. Gambar: Bernama
MetMalaysia berkata mereka yang ingin turun ke laut atau berkunjung ke pulau peranginan perlu peka dengan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi membolehkan perjalanan dirancang sebaiknya. Gambar: Bernama

Orang ramai perlu mengehadkan aktiviti di lokasi berisiko seperti tepi sungai pada sebelah petang berikutan ribut petir sering berlaku pada masa ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata mereka yang ingin turun ke laut atau berkunjung ke pulau peranginan pula perlu peka dengan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia bagi membolehkan perjalanan dirancang sebaiknya.

“Maklumat mengenai angin kencang dan laut bergelora adalah penting bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan di laut bagi mengelak kes pelancong terperangkap di pulau peranginan. Pastikan mendapat maklumat sahih daripada MetMalaysia,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk “Amaran Awal dan Tindakan Awal” terbitan Bernama TV malam tadi.

Menurut Helmi, amaran ribut kencang dan laut bergelora boleh dikeluarkan lebih awal berbanding amaran hujan lebat dan ribut petir yang hanya dapat dikesan imej radar selepas pembentukan  awan dikesan atau ribut petir sudah pun bermula di sesebuah lokasi.

Terdapat kekangan untuk keluarkan amaran ribut petir lebih awal kerana belum ada teknologi yang boleh mengesan dengan tepat di mana ribut petir akan berlaku, katanya.

Beliau berkata bagi kejadian tanah runtuh, amaran awal agak sukar dikeluarkan kerana terdapat beberapa  faktor yang menyebabkan ia berlaku termasuk faktor geologi dan hujan lebat.

“Oleh itu penduduk di kawasan berisiko perlu sentiasa peka dengan amaran ribut petir yang dikeluarkan MetMalaysia dan perlu sentiasa mengambil  tahu keadaan  persekitaran mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Helmi.

Beliau berkata sempena Hari Meteorologi Sedunia, MetMalaysia komited untuk meningkatkan kesedaran awam supaya mereka peka dengan keadaan cuaca ekstrem, gempa bumi dan tsunami.

Pelbagai promosi kesedaran awam akan dilaksanakan kepada orang ramai untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh MetMalaysia, katanya.