- Iklan -
Berita

Sultan Perak mahu pimpinan parti pastikan pilihan raya tidak gugat kestabilan negara

Menurut Nazrin, isu sensasi yang menyalakan perkauman dan sentimen agama ketika kempen meraih undi akan menyulitkan usaha penyatupaduan masyarakat dalam negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (kiri) yang juga Canselor Universiti Malaya menyempurnakan gimik pelancaran buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ hari ini. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (kiri) yang juga Canselor Universiti Malaya menyempurnakan gimik pelancaran buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ hari ini. Gambar: Bernama

Kepimpinan parti politik bertanggungjawab memastikan pilihan raya di negara ini tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, kata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Nazrin berkata isu sensasi yang menyalakan bara perkauman serta meniupkan sentimen agama dalam meraih undi semasa berkempen akan menyulitkan usaha penyatupaduan, memisah dan merenggangkan hubungan rakyat pelbagai latar belakang seterusnya membatalkan usaha membina negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.

“Negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan berpatah arang hingga akhirnya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu,” titah baginda ketika melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir hari ini.

Baginda bertitah memilih kerajaan menerusi pilihan raya merupakan urusan serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

Sehubungan itu, Nazrin berkata pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya berasaskan sentimen serta emosi.

Menurut Nazrin, pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan rakyat, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun, bebas daripada ugutan, tekanan serta keganasan selain bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

Beliau berkata pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat malah menjadi satu piawaian antarabangsa terhadap tahap keutuhan hak asasi setiap warganegara.

“Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, intelek, kematangan, meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang, tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara,” kata Nazrin.

Selain itu, Nazrin turut berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik semasa pilihan raya wajib, pada setiap masa, bersikap berkecuali terhadap mana-mana pihak.

“Demi memastikan kedaulatan dan kemuliaan takhta pemerintahan tidak tercemar, SPR sebagai badan yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali, mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikai serta ketelusan yang tidak diragui.

Menyentuh penurunan had usia layak mengundi kepada 18 tahun, Sultan Nazrin bertitah ia hendaklah ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

Selain itu, beliau berkata anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

Nazrin menambah susulan pindaan rang undang-undang yang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, lebih 7 juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, meningkat lebih 50% berbanding bilangan pengundi berdaftar semasa PRU14.

Mengenai buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir setebal 760 halaman, Sultan Nazrin bertitah ia merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan.

Nazrin berkata penerbitan itu bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan memahami peranan sebagai pengundi.

Buku terbitan Universiti Malaya itu adalah karya bekas pengerusi SPR Ab Rashid Ab Rahman bersama Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya G Manimaran, yang sebelum ini merupakan wartawan akhbar tempatan.