- Iklan -
Berita

MIC mahu cabar keputusan satu-satunya kemenangan PKR dalam PRN Johor

Menurut MIC, semasa proses pengiraan undi dilakukan, undi rosak didapati jauh lebih tinggi daripada majoriti iaitu terdapat kira-kira 650 undi rosak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Stulang sempena kempen PRN Johor. Gambar: Bernama
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Stulang sempena kempen PRN Johor. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) akan memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah berikutan jumlah undi rosak melebihi majoriti yang diperoleh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden MIC S.A. Vigneswaran berkata kerusi itu yang ditandingi calon daripada MIC, S.Suppayah tewas kepada calon Pakatan Harapan daripada PKR, Arthur Chiong Sen Sern yang memperoleh majoriti 137 undi.

Pada PRN semalam, selain Suppayah, turut tewas dalam pertandingan empat penjuru itu ialah calon Perikatan Nasional Tan Heng Choon dan calon Warisan Lee Ming Wen.

“Kita akan memfailkan petisyen kerana semasa proses pengiraan undi dilakukan, kita mendapati undi rosak jauh lebih tinggi daripada majoriti iaitu terdapat kira-kira 650 undi rosak.

“Kita sudah membuat bantahan (semasa proses pengiraan undi) tetapi bantahan itu perlu dibuat menerusi saluran yang betul,” katanya.

Beliau yang juga penyelaras Parlimen Sungai Siput ditemui pemberita selepas program Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di Pusat Khidmat MIC Sungai Siput hari ini.

Pada PRN itu, MIC menang tiga dari empat kerusi yang ditandingi iaitu di DUN Kemelah, Kahang dan Tenggaroh.

Sementara itu, Vigneswaran berkata kemenangan MIC di tiga kerusi yang ditandingi menunjukkan rakyat sudah menerima kembali dan mahukan BN menjadi kerajaan semula.

“Kita mendapati bahawa undi daripada kaum India telah balik semula ke pangkuan Barisan Nasional, ini bukan lagi satu retorik. Mudah-mudahan kita juga dapat merasai sokongan kaum India untuk Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang manakala tewas di DUN Gambir dan Skudai.