- Iklan -
Berita

Kumpulan desak pengampunan Najib kini mahu hakim Nazlan ditangkap

Kumpulan itu berkata kemenangan Barisan Nasional dalam PRN baru-baru ini menunjukkan simpati rakyat terhadap Najib.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak ketawa pada satu sidang media ketika berkempen di PRN Melaka tahun lalu.
Bekas perdana menteri Najib Razak ketawa pada satu sidang media ketika berkempen di PRN Melaka tahun lalu.

Kumpulan yang sebelum ini mendesak supaya Najib Razak diberikan pengampunan diraja bagi sabitan kes jenayah melibatkan RM42 juta dalam akaun bank peribadinya kini mula melancarkan gesaan supaya Nazlan Ghazali yang merupakan bekas hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadapnya ditangkap.

Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia telah membuat beberapa dakwaan terhadap Nazlan dan menjemput media untuk membuat liputan sidang medianya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, di mana ia berkata laporan akan dibuat terhadap hakim tersebut.

Kumpulan itu juga turut menambah bahawa beberapa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan bahawa orang ramai bersimpati terhadap Najib.

“Keputusan pilihan raya negeri-negeri termasuk PRN Johor kini jelas menterjemahkan rasa simpati rakyat yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman dan penindasan yang berlaku ke atas perdana menteri ke-6 Najib Razak yang pada hakikatnya telah amat banyak berjasa kepada rakyat jelata dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini dengan disertakan tanda pagar #TangkapHakimNazlanBebasNajib dan #ArrestJudgeNazlanFreeNajib.

Najib berada di barisan hadapan kempen BN di Johor, di mana penganalisis berkata peratusan keluar mengundi yang rendah di samping keadaan pembangkang yang tidak bersatu telah menjadikan bekas gabungan kerajaan persekutuan itu kembali berkuasa di Johor.

Nazlan Ghazali.

Pada Julai 2020, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM200 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah dalam pertuduhan melibatkan dana RM42 juta berkaitan SRC International.

Hukuman itu dikekalkan di Mahkamah Rayuan akhir tahun lalu, di mana tiga panel hakim menyifatkan kes tersebut sebagai memalukan negara.

Bagaimanapun, Najib diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Pada Ogos tahun lalu, beberapa hari sebelum perdana menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, kumpulan yang sama turut menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon pengampunan diraja untuk Najib sekali gus melantiknya sebagai perdana menteri interim.

“Dengan keupayaan dan kecekapannya mengurus ekonomi negara disamping membawa nama baik Malaysia ke persada antarabangsa,” kata ketua kumpulan itu Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz.