Friday, September 24, 2021

NGO rayu Agong ampunkan Najib, lantik jadi PM interim

Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia berpendapat kemampuan Najib sudah terbukti dalam mentadbir negara dengan baik.

Other News

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib Razak dan melantiknya sebagai perdana menteri interim bagi menyelesaikan krisis yang melanda negara.

Pengerusi Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata Najib sudah terbukti mampu untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya mencadangkan YDPA dapat memberikan pengampunan Diraja kepada Najib daripada apa jua tindakan mahkamah baik yang sedang berlangsung atau yang telah dijatuhi hukuman bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, ketokohan Najib sudah terbukti ketika negara berada bawah pemerintahannya dulu.

“Pada pandangan saya, Najib semasa memegang jawatan sebagai perdana menteri keenam tempoh hari adalah amat baik serta memberangsangkan.

“Dengan keupayaan dan kecekapannya mengurus ekonomi negara disamping membawa nama baik Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya.

Najib dilantik sebagai perdana menteri pada 3 April 2009 untuk menggantikan Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau didesak Umno untuk meletakkan jawatan akibat kelhilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya pada pilihan raya umum tahun sebelumnya.

Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 9 Mei 2018, ekoran BN tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 28 Julai tahun lalu, Najib didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, Najib kini sedang dalam proses rayuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles