Hasni sahkan Zahid mengadap Sultan Johor berhubung pelantikan MB
Nama Hasni dijangka akan diserahkan kepada Sultan Johor sebagai menteri besar selepas Barisan Nasional menang PRN Johor.
Terkini
Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelantikan menteri besar Johor petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.
“Prosesnya memang begitu. Bila Suruhanjaya Pilihan Raya beritahu keputusan pilihan raya, presiden kemudiannya mengadap (Sultan Johor),” kata beliau kepada pemberita secara ringkas ketika ditemui di ibu pejabat Badan Perhubungan Umno Johor, sebentar tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN memperoleh lebih daripada dua pertiga majoriti iaitu 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 56 kerusi yang dipertandingkan.
Terdahulu, Zahid dilihat tiba di pejabat perhubungan Umno Johor di Jalan Yahya Awal pada pukul 2.30 petang tadi sebelum meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.
Semasa kempen, Zahid menamakan Hasni, yang juga Adun Benut sebagai calon menteri besar bagi BN untuk mengetuai kerajaan negeri baru sekiranya parti itu memenangi PRN Johor.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
