BN dijangka kekalkan kuasa di Johor
Sementara itu, PKR mungkin dihukum kerana tidak menggunakan logo PH bersama DAP dan Amanah sebaliknya menggunakan logo sendiri.
Terkini
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirainya malam tadi selepas dua minggu penamaan calon.
Pada saat-saat akhir, jentera dan calon parti politik berada di “gear lima” tatkala suhu kempen semakin hangat.
Meskipun deretan poster dan bendera di jalan raya dan kawasan perumahan tidak kurang meriahnya, suasana atau “mood” pilihan raya tidak begitu berkobar-kobar di kalangan pengundi.
Tinjauan MalaysiaNow di program beberapa nama besar politik tanah air di kawasan luar bandar mendapati tidak ramai yang sanggup turun untuk berjumpa dengan mereka.
Pada kebanyakan masa, ceramah dan program dihadiri kurang dari 100 orang.
Faktor Covid-19 yang sedang mengganas dilihat antara sebab utama ramai masih takut-takut selain prosedur operasi standard (SOP) kementerian kesihatan yang agak ketat.
Kempen Perikatan Nasional (PN) tertumpu kepada isu nasional seperti penyelewengan 1MDB, manakala Pakatan Harapan (PH) tertumpu kepada isu seperti kenaikan harga barang.
Selain itu, PH juga memainkan isu pergaduhan antara Barisan Nasional (BN) dan PN yang masih berada dalam satu kerajaan persekutuan yang sama.
BN memainkan sentimen kestabilan selain mengulang semula kegagalan PH dalam menunaikan janji semasa mentadbir kerajaan persekutuan.
Sebelum ini, penganalisis mengatakan situasi di Johor tidak sama dengan Melaka ekoran jumlah pengundi dan kerusi yang jauh lebih banyak daripada Melaka.
Selain itu, seramai 700,000 pengundi baru perlu difaktorkan dalam perkiraan undian kali ini.
Rata-rata pemerhati menyatakan jumlah keluar undi dan undi luar bakal memainkan peranan dalam menentukan kemenangan satu-satu blok politik.
Peratusan keluar undi yang rendah dijangka memanfaatkan BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula memaklumkan, hanya 7,814 undi pos dikeluarkan berbanding 200,000 pekerja Malaysia di Singapura.
Perpecahan pembangkang
PRN Johor kali ini jelas menampakkan keretakan dalam PH apabila PKR memilih untuk bertanding atas logo sendiri.
Menurut PKR yang diketuai Anwar Ibrahim, logo PH mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir Mohamad walaupun parti itu turut bersama dalam kerajaan 22 bulan pimpinan bekas perdana menteri itu.
Seorang pengundi Cina yang ditemui di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Miaw Wah, berkata penggunaan logo berlainan mungkin “backfire” kepada PKR kerana pengundi sudah diajar dan dibiasakan dengan logo PH.
“Mereka yang tak berapa tahu mengenai politik tertanya-tanya mana logo PH? Saya terpaksa jelaskan bahawa logo PKR sudah ganti PH di kawasan ini.
“Itu pengundi yang bertanya, kalau pengundi yang tidak ambil tahu dan tidak bertanya? Mereka tidak tahu,” katanya kepada MalaysiaNow.
Selain itu kerjasama DAP dan Amanah dengan Muda tanpa membabitkan PKR juga dilihat sebagai janggal.
PRN Johor juga lebih meriah dengan kehadiran Pejuang, Parti Bangsa Malaysia, Muda dan Warisan, namun ia dijangka memecahkan undi blok pembangkang.
Ini dicerminkan dengan jelas apabila Muda bertembung dengan PKR di kerusi DUN Larkin.
Selain itu, dalam kalangan DAP juga berlaku perpecahan antara kem pengerusi Johor, Liew Chin Tong dan Boo Cheng Hau yang mana dijangka memberi kesan kepada tahap sokongan orang Cina.
Liew yang dianggap orang luar itu bertanding di kerusi Perling berdepan dengan Ketua Wanita MCA Pulai Tan Hiang Kee dan Naib Presiden Gerakan Koo Shiaw Lee.
Perpecahan pembangkang itu antara subjek yang signifikan.
Ini kerana di Melaka, BN yang hanya memperoleh 38% undi mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Undi pembangkang ketika itu terpecah antara PH dan PN.
Di Johor ia dijangka memberikan kesan yang sama.
Penganalisis politik Mazlan Ali dari UTM berkata, sebahagian pengundi PH hilang disebabkan faktor Bersatu dan PAS.
“Di Melaka dahulu menunjukkan begitu. Ada beberapa tempat yang PH kalah, PN mendapat undi yang agak signifikan, sedangkan undi Umno tidak bertambah. Ini menunjukkan bahawa PN menarik sebahagian undi yang dahulunya menyokong PH,” katanya kepada MalaysiaNow.
Beberapa calon lompat juga dilihat akan mengalami nasib sama seperti di Melaka terutama di bertanding di kawasan yang disifatkan 50-50.
“Mungkin sebahagian daripada undi itu adalah undi atas pagar. Mereka rasakan bahawa calon itu mungkin akan melompat semula.”
Antara calon lompat parti pada PRN kali iialah Rasman Ithnain (Sedili), Alwiyah Talib (Endau) dan Chong Fat Full (Pemanis).
Rasman dan Alwiyah melompat dari Umno ke Bersatu.
Manakala Chong pula melompat dari PKR ke Bersatu.
Kemenangan BN
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hassan menjangkakan gabungan itu mampu melepasi majoriti mudah dengan 29 kerusi dalam genggaman, iaitu tambahan 10 kerusi daripada yang dimenangi blok itu pada 2018.
BN katanya perlu mendapatkan 38 kerusi untuk mentadbir negeri selatan itu tanpa perlu berunding dengan mana-mana pihak.
Sebelum ini, BN di bawah pimpinan Menteri Besar Johor Hasni Mohamad membubarkan DUN pada Januari kerana menyatakan majoriti satu kerusi susulan kematian Adun Kempas, Osman Sapian adalah terlalu kecil.
“BN sekarang parti pilihan la untuk menang tetapi nampaknya PN dilihat memberi cabaran juga di kawasan-kawasan Melayu.
“Muhyiddin berkempen habis-habisan di kawasan Felda dan kampung-kampung ini.
“Sedikit sebanyak bergantung juga kepada adakah PN mampu untuk menarik sejumlah undi Melayu yang besar? Sekiranya PN dapat menarik sekurang-kurangnya 35% atau 40% daripada undi Melayu, mungkin menyebabkan Umno menghadapi masalah di tempat-tempat yang peluangnya 50-50,” kata Mazlan.
Dua nama yang berperang mulut bagi merebut undi Felda dan undi Melayu umumnya ialah Najib Razak dan Muhyiddin.
Pertelingkahan kedua-dua bekas perdana menteri itu menghangatkan suasana kempen.
Najib berbekalkan slogan “Bossku”manakala Muhyiddin menggunakan pengaruhnya selaku bekas perdana menteri dan menteri besar Johor.
Jika ramalan ini terjadi dan BN kembali membentuk kerajaan negeri, maka blok pembangkang perlu memikirkan semula strategi mereka bagi mendepani gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
