- Iklan -
Berita

Speaker minta Najib jelaskan kenyataan berhubung hutang 1MDB di Dewan Rakyat

Najib diminta menjelaskannya kepada sidang Dewan Rakyat Rabu ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika berucap pada sidang Parlimen. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika berucap pada sidang Parlimen. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri Najib Razak diminta memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu ini berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu ketika perbahasan minggu lepas yang dikata mengelirukan dewan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta bekas perdana menteri itu memberi kenyataan.

“Saya telah menulis kepada YB Pekan untuk minta penjelasan, serta YB menteri kewangan tentang apa yang beliau katakan tempoh hari dan saya sedang menunggu jawapan.

“Saya meminta beliau (Najib) beri penjelasan hari Rabu ini, tapi saya tak tahulah beliau dapat (atau tidak) beri penjelasan hari itu, saya tidak tahu,” katanya.

Azhar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (DAP-Jelutong) yang bangun pada sesi perbahasan titah diraja persidangan Dewan Rakyat semalam untuk meminta maklum balas mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pua menghantar usul itu berikutan ucapan Najib dalam Dewan Rakyat pada 2 Mac dikatakan mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dewan berkaitan isu hutang 1MDB dan boleh disifat sebagai menghina majlis.