- Iklan -
Berita

Selepas Melaka, mampukah PN menangi undi tentera di Johor pula?

Gabungan Perikatan Nasional mungkin sekali lagi buat kejutan dengan sokongan padu penjawat awam terhadap pemimpinnya Muhyiddin Yassin.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera beratur sebelum masuk ke pusat mengundi di Kem Terendak pada PRN Melaka akhir tahun lalu.
Anggota tentera beratur sebelum masuk ke pusat mengundi di Kem Terendak pada PRN Melaka akhir tahun lalu.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, Perikatan Nasional (PN) membuat kejutan apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang mempunyai populasi besar anggota tentera dan merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Kekalahan itu merupakan sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka oleh BN kerana Kem Terendak dan Kem Sungai Udang yang terletak dalam DUN itu bermakna undi tentera dan keluarga mereka adalah besar dan signifikan.

Pada PRN Johor, terdapat 10 buah kem tentera dengan yang terbesar di Markas 7 Bridget, Kem Batu Tiga dalam daerah Kluang.

Hari ini, seramai 22,531 pengundi terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan akan mengundi awal di pusat mengundi masing-masing.

Selepas empat bulan, adakah sokongan anggota tentera kepada PN dalam PRN Melaka akan berulang di Johor?

Seorang sumber dari sebuah kem tentera di Kluang memberitahu, para pegawai dan anggota tentera mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.

Dengan pertalian itu, mereka juga sering berbincang mengenai parti-parti politik untuk disokong.

Pegawai tentera yang hanya mahu dikenali sebagai Z sudah berkhidmat di negeri itu lebih 11 tahun dan memantau dekat kegiatan dalaman anggotanya termasuk perbualan politik.

Katanya, setakat ini tiada “angin perubahan” yang memberi gambaran bahawa kem-kem tentera di Johor masih kekal memberikan sokongan penuh kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Bukan askar sahaja, rakan-rakan polis di IPK (Ibu Pejabat Kontinjen) juga memaklumkan hasil risikan yang sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kami penjawat awam akan ingat segala bantuan yang kerajaan Muhyiddin beri masa kami sedang melawan Covid-19.”

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan populariti Muhyiddin selaku bekas perdana menteri banyak menyumbang kepada undi tentera kepada calon PN dalam PRN Melaka.

Antara jasa Muhyiddin yang tidak dilupakan ketika menjadi perdana menteri ialah bantuan wang tunai dan moratorium pinjaman bank ketika negara berdepan krisis ekonomi akibat penularan Covid-19.

Marah Muhyiddin dijatuhkan

Seorang sumber dalaman Majlis Peguam Johor berkata badan itu bersepakat untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada PN sebagai salah satu cara membela Muhyiddin yang dijatuhkan sebagai perdana menteri oleh kumpulan kluster mahkamah Umno.

Katanya, Muhyiddin merupakan pilihan terbaik di ambang percaturan politik yang rakus oleh pemimpin-pemimpin yang terpalit isu rasuah.

“Kami memang dah sepakat untuk sokong beliau di sini,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Mazlan Ali dari UTM berkata, perkara ini tidak mustahil untuk berlaku mengambil kira kepimpinan Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri kelapan sangat menjaga kebajikan para penjawat awam.

Katanya, buktinya dapat dilihat ketika beliau memimpin kerajaan terdapat banyak inisiatif untuk membantu penjawat awam terutama sekali dari segi kewangan.

Atas sebab itu, kem tentera di Melaka berjaya dimenangi PN disebabkan pengaruh jasa dan sumbangan Muhyiddin sewaktu menjadi peneraju utama negara.

“Berbanding dengan BN, pemimpin-pemimpin mereka banyak terpalit dengan rasuah.

“Jadi tentera ni, unitnya di dalamnya mempunyai pemahaman agama yang baik juga sebab ada kor agama angkatan tentera.

“Jadi, penilaian agama juga penting dalam kalangan tentera,” katanya kepada MalaysiaNow.