- Iklan -
Berita

Calon MB PH akan dimuktamad selepas menang PRN, kata SU agung PKR

Saifuddin berkata PKR lebih memfokuskan kepada kepada kemenangan pada PRN Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera PKR yang dikibarkan di Larkin, Johor sempena kempen PRN yang akan diadakan 12 Mac ini.
Bendera PKR yang dikibarkan di Larkin, Johor sempena kempen PRN yang akan diadakan 12 Mac ini.

PKR belum lagi memikirkan atau menawarkan diri meletakkan mana-mana calon parti itu bagi mengisi jawatan menteri besar Johor, jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu kini lebih memfokuskan kepada kepada kemenangan dan calon menteri besar hanya akan dimuktamadkan selepas memenangi pilihan raya serta setelah berbincang dengan parti komponen PH lain.

“Kita masih tidak mempunyai nama, kita sekarang ini hanya fokus untuk menawarkan calon yang terbaik, calon yang telah memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha untuk melawan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kita juga belajar daripada pengalaman setiap pilihan raya yang telah kita sertai dan berusaha untuk memperbaiki setiap kesilapan pada pilihan raya terdahulu,” katanya kepada pada sidang media bersama calon-calon PKR Zon Tengah di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah hari ini.

Beliau juga yakin dengan calon PKR yang bertanding di zon tengah berdasarkan rekod calon-calon berkenaan sebelum ini.

Katanya dua calon berkenaan merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri, seorang bekas menteri dan seorang lagi merupakan bekas exco dalam pentadbiran kerajaan Johor, selain meletakkan seorang muka baharu dalam kalangan wanita.

Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini manakala pengundian awal akan berlangsung esok.