- Iklan -
Berita

Pfizer lebih utama, Sinovac disediakan sebagai pilihan, kata Khairy berhubung PICKids

Beliau berkata vaksin Sinovac akan disediakan di beberapa pusat pemberian vaksin bagi pilihan ibu bapa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu sedang merakam gambar kenang-kenangan dua anaknya selepas  menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang ibu sedang merakam gambar kenang-kenangan dua anaknya selepas menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Vaksin Sinovac bagi kanak-kanak akan disediakan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) susulan kelulusan bersyarat dari Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi penggunaannya diumumkan semalam.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata suntikan vaksin Pfizer kekal sebagai vaksin yang lebih utama bagi digunakan untuk vaksinasi kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Kanak-kanak (PICKids).

“Dengan nasihat daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Pfizer masih menjadi vaksin yang lebih utama bagi #PICKids jika anak anda tiada sejarah alahan.

“Bagaimanapun, CITF-C akan menyediakan Sinovac di beberapa PPV terhad bagi pilihan ibu bapa yang mengetahuinya,” katanya dalam satu ciapan Twitter hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan penggunaan vaksin Sinovac akan dibenarkan bagi vaksinasi kanak-kanak berusia lima hinggat 11 tahun sebagai tambahan bagi Pfizer yang diluluskan sebelum ini.

Sebelum ini, vaksin tersebut l diluluskan untuk digunakan bagi vaksinasi remaja berusia 12 tahun ke atas.

Setakat ini, sebanyak 952,411 atau 26.8% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin di bawah PICkids.

Pada 17 Februari, Khairy berkata kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak meningkat, dengan 160% peningkatan kes melibatkan mereka yang berusia 12 tahun ke bawah berikutan penularan varian Omicron.

Dalam pada itu, pada 25 Februari, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata masih ramai ibu bapa yang mengambil sikap tunggu dan lihat di mana kadar vaksinasi kanak-kanak lebih rendah dari 10% direkodkan di Sabah, Terengganu dan Kelantan.