- Iklan -
Berita

Gangguan elektrik di 77 kawasan banjir Kelantan pulih

Pihak berkuasa mengingatkan penduduk supaya tidak menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh bagi mengelak kejadian buruk.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kereta ditenggalami air banjir sementara beberapa mangsa mengharungi arus di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, Kelantan pada 28 Februari. Gambar: Bernama
Kereta ditenggalami air banjir sementara beberapa mangsa mengharungi arus di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, Kelantan pada 28 Februari. Gambar: Bernama

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan elektrik di 77 kawasan di Kelantan yang mengalami gangguan akibat banjir.

Pengurus Besar TNB Kelantan Mustapha Kamal Yaacob berkata ketika ini pihaknya sedang giat memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan lain namun bergantung kepada akses perhubungan dan keadaan setempat.

“Di Tumpat, kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, Pulau Seratus, Teluk Renjuna 2, Pulau Dolah, Pulau Suri 1 dan Pulau Suri 2.

“Di Pasir Mas, kawasan masih terjejas ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pengkalan Rakit, JPS Bakat 2, Terusan dan Kebakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mustapha turut mengingatkan penduduk supaya tidak menyentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh bagi mengelak kejadian buruk.

“Diharapkan penduduk bersabar dan lebih prihatin terhadap perkara ini malah pihak kami amat menghargai kerjasama yang diberikan orang ramai dalam usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan terlibat,” katanya.

Mustapha berkata TNB juga sedang memulihkan bekalan elektrik secara sementara melalui generator statik di kawasan kepulauan Tumpat berikutan kerosakan talian atas bekalan 11 kilovolt (kV) akibat dilanggar kapal korek yang hanyut semasa banjir, minggu lepas.

Pada 27 Februari lepas, media melaporkan seramai 3,000 penduduk terpaksa bergelap apabila kapal korek yang dibawa arus deras dipercayai telah merempuh tiang kabel elektrik sehingga tumbang di Kampung Pulau Beluru, Tumpat.