- Iklan -
Berita

AirAsia gagal rayuan terhadap penghakiman terus berhubung tunggakan caj perkhidmatan penumpang

Panel hakim mahkamah rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan AirAsia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berhubung pembayaran caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tertunggak.

Keputusan itu diputuskan oleh panel tiga hakim terdiri daripada hakim Has Zanah Mehat, Azizah Nawawi dan See Mee Chun dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian.

“Kami mendapati tiada merit dalam rayuan AirAsia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus itu,” kata hakim Azizah yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah.

Berikutan keputusan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar PSC sebanyak RM40.73 juta dan RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) yang belum dibayar kepada MASSB, anak syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dikekalkan.

Mahkamah juga menolak tiga rayuan AirAsia terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi membatalkan saman yang difailkan MASSB terhadap mereka.