- Iklan -
Berita

Covid-19, membazir wang antara punca pengundi Cina enggan pulang bagi PRN Johor

Ada juga yang merasakan undi mereka tidak memberikan banyak perubahan di negeri itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera parti dan papan tanda kempen PRN Johor di sepanjang jalan di Stulang, Johor Bahru, mewarnai suasana kempen pilihan raya yang akan diadakan pada 12 Mac.
Bendera parti dan papan tanda kempen PRN Johor di sepanjang jalan di Stulang, Johor Bahru, mewarnai suasana kempen pilihan raya yang akan diadakan pada 12 Mac.

Lim Mei Yen yang menetap di Shah Alam, Selangor tidak mahu menanggung risiko terkena jangkitan Covid-19 sekiranya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Tambahan lagi, Lim yang berusia 28 tahun itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari tugasan di luar negara.

Atas sebab itu, Lim khuatir jika dirinya menjadi pembawa virus itu kepada ibu bapanya di rumah Taman Bukit Perdana di Batu Pahat.

“Saya balik mengundi tidak akan ubah harga telur juga. Ibu saya makan (telur) di Johor harga RM16 sepapan, saya di Glenmarie juga sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jadi, apa yang boleh kita ubah?”

Sementara Caster Ng seorang jurutera penyelenggaraan di sebuah hospital swasta di Sarawak berkata dia enggan pulang mengundi untuk menjimatkan kos perbelanjaan keluarganya.

Ng, 39, yang menetap di Kuching sudah berkhidmat selama tujuh tahun bersama suami dan tiga orang anaknya baru sahaja pulang ke Tebrau, Johor Bahru untuk sambutan Tahun Baru Cina, awal Februari lalu.

Katanya, jika dia pulang sekali lagi dengan menempah tiket penerbangan dalam masa yang singkat, boleh menelan kos perbelanjaan yang tinggi mencecah ribuan ringgit.

“Saya sudah memberi undi pada PRU14 lalu. Seperti semalam saya pergi beratur mengundi, sekarang mahu undi lagi?

“Maaflah, ini sangat meletihkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, faktor utama kaum Cina enggan pulang mengundi kerana mengambil kira keadaan kes jangkitan Covid-19 yang sedang meningkat dan keberadaan mereka di luar kawasan menyukarkan untuk pulang.

Katanya selain itu, ramai yang tidak merasakan apa-apa perubahan terhadap kehidupan mereka jika berlaku perubahan kepada kerajaan negeri Johor.

Ini kerana, katanya, mereka masih belum mengesan fungsi parti pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN) yang mampu merubah kehidupan dan peluang ekonomi masyarakat Cina.

“Kerana setakat ini, tidak jelas agenda semua parti untuk membantu masyarakat Cina,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun katanya, secara umum dilihat pengundi bukan Melayu masih menyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP walaupun terdapat perubahan sikap terhadap Barisan Nasional (BN) dan MCA.

Masyarakat Cina praktikal

Azizuddin berkata, masyarakat Cina amat praktikal dalam memerhati pergerakan politik dengan melihat dasar-dasar yang diketengahkan, bukannya sentimen yang dipermainkan oleh parti politik.

“Atas faktor ini, mereka melihat kestabilan kerajaan juga penting. Ini mungkin akan beri kelebihan pada BN.

“Itu sebab ada perubahan sikap sikit pengundi Cina pada BN,” katanya.

Masyarakat Cina mewakili 37% pengundi di Johor.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, pengundi bukan Melayu akan memilih parti politik berpandukan dua faktor yang menonjol.

Pertama, katanya, tidak melibatkan ketuanan dan layanan sama rata kepada semua.

Kedua, beliau menjelaskan, parti yang menawarkan kebangkitan sosioekonomi ekoran aliran ekonomi negeri itu terjejas teruk sejak dua tahun lalu akibat penutupan sempadan Johor-Singapura bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19

“Sebenarnya, faktor kedua ini adalah isu yang menjadi tumpuan ramai termasuk dari semua kaum,” katanya kepada MalaysiaNow.

PRN Johor bakal menyaksikan pertembungan antara pelbagai gabungan dan parti politik.

Selain BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN, parti-parti seperti Pejuang, Muda dan Warisan turut mengambil bahagian.