Calon SPM terjejas banjir dijadual semula jika tiada pusat peperiksaan alternatif
KPM mengeluarkan garis panduan pengurusan peperiksaan di kawasan terjejas banjir.
Terkini
Kementerian pendidikan (KPM) hari ini mengeluarkan garis panduan pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan awam menjelang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) esok yang antara lain menetapkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan ekoran banjir akan menduduki peperiksaan yang dijadualkan semula.
“KPM merujuk kepada situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.
“Keadaan ini memberi kesan terhadap persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
KPM berkata berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksana mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.
Selain pekeliling tersebut, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut menyediakan garis panduan khusus pengurusan peperiksaan awam yang terjejas akibat banjir.
Garis panduan itu menyentuh aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon peperiksaan, petugas peperiksaan dan bilik kebal.
Ia antara lain menetapkan sekiranya tiada sekolah yang boleh dijadikan pusat alternatif selepas sekolah atau pusat asal peperiksaan dinaiki air dan tidak dapat dimasuki, calon yang menduduki peperiksaan di kawasan itu perlu menjalani peperiksaan yang dijadualkan semula.
Pemakluman akan dibuat oleh pengetua atau guru kelas berhubung pertukaran pusat peperiksaan.
Calon dan waris juga dikehendaki menghubungi Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP), jabatan pendidikan negeri (JPN), pengetua atau guru kelas untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pusat peperiksaan.
Bagaimanapun, bagi sekolah dan pusat peperiksaan dinaiki air sebahagian, pusat peperiksaan akan kekal di sekolah asal atau ia akan dipindahkan ke kelas atau bangunan yang lebih tinggi.
“KPM sentiasa prihatin tentang kebajikan calon yang terlibat dengan banjir.
“Oleh yang demikian, sekiranya calon peperiksaan SPM 2021 tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, calon terlibat boleh menghubungi guru kelas, pengetua di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Ketika ini, banjir di Terengganu dan Kelantan menyaksikan peningkatan mangsa melebihi 22,000 orang di mana mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat ini, banjir di dua negeri itu juga telah meragut dua nyawa.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
