- Iklan -
Berita

Rusia dakwa berjaya musnahkan 70 sasaran ketenteraan Ukraine

Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada awal pagi Khamis selepas berucap dalam siaran televisyen negara itu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine berkawal di kawasan sempadan bagi menghadapi sebarang serangan tentera Rusia. Gambar: AFP
Tentera Ukraine berkawal di kawasan sempadan bagi menghadapi sebarang serangan tentera Rusia. Gambar: AFP

Rusia pada Khamis berkata pasukan tenteranya berjaya memusnahkan lebih 70 sasaran ketenteraan termasuk 11 lapangan terbang di Ukraine.

“Hasil serangan angkatan bersenjata Rusia, 74 kemudahan darat tentera Ukraine telah musnah,” kata jurucakap kementerian pertahanan, Igor Konashenkov.

Kemudahan yang dilaporkan musnah termasuk 11 lapangan terbang, tiga pusat kawalan dan 18 stesen radar sistem peluru berpandu antipesawat S-300 dan Buk-M1, katanya.

Konashenkov turut berkata sebuah helikopter tentera Ukraine dan empat dron juga berjaya ditembak jatuh.

Menurut beliau, pasukan pemisah meneruskan serangan dengan sokongan udara angkatan tentera Rusia.

Katanya, pada masa ini “kumpulan nasionalis bersenjata” telah meningkatkan serangan, mendakwa tentera Ukraine mahu meninggalkan kawasan bergolak di wilayah timur negara itu.

Beliau turut menambah Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu telah mengarahkan tentera Rusia untuk “menghadapi tentera Ukraine dengan penuh hormat”.

Putin melancarkan serangan ke atas Ukraine pada awal pagi Khamis selepas berucap dalam siaran televisyen sekitar 5.40 pagi waktu tempatan.