- Iklan -
Berita

Tentera Rusia serang Ukraine selepas terima arahan Putin

Pusat kawalan tentera Ukraine di Kyiv dan bandar Kharkiv di timur laut negara itu telah mengalami serangan peluru berpandu dan tentera Rusia telah mendarat di bandar pelabuhan Odessa dan Mariupol.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine dilihat bersiap sedia di barisan hadapan bagi menghadapi puak pemisah yang disokong Rusia di bandar Schastia, berdekatan wilayah timur Ukraine, Luhansk pada 23 Februari. Gambar: AFP
Tentera Ukraine dilihat bersiap sedia di barisan hadapan bagi menghadapi puak pemisah yang disokong Rusia di bandar Schastia, berdekatan wilayah timur Ukraine, Luhansk pada 23 Februari. Gambar: AFP

Tentera Rusia melancarkan peluru berpandu ke arah beberapa bandar Ukraine dan mendaratkan tenteranya di kawasan selatan pantai negara itu, kata pihak berkuasa dan media.

Serangan tersebut dijalankan selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di wilayah timur Ukraine.

Selepas Putin mengumumkan operasi tersebut melalui siaran televisyen Rusia, letupan mula kedengaran di ibu negara Ukraine, Kyiv.

Bunyi letupan juga kedengaran berhampiran lapangan terbang utama ibu negara itu, kata agensi berita Interfax.

“Putin baru sahaja melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine. Bandar Ukraine yang aman telah diserang,” kata Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba di Twitter.

“Ini adalah pencerobohan. Ukraine akan mempertahankan dirinya dan akan memenangi perang ini. Dunia mesti menghentikan Putin. Masa untuk bertindak sekarang.”

Presiden AS Joe Biden berkata beliau berdoa untuk keselamatan rakyat Ukraine “kerana mereka terpaksa berdepan serangan tanpa sebarang provokasi dan ia adalah tindakan yang tidak wajar oleh pasukan tentera Rusia”.

Terdahulu, Rusia menuntut supaya Nato menamatkan perluasan pengaruhnya di kawasan timur Ukraine.

Putin berkata beliau membenarkan operasi khas ketenteraan di wilayah timur yang telah berpisah dari Ukraine selepas Rusia tidak mempunyai pilihan lain selain mempertahankan diri daripada apa yang disifatkannya sebagai Ukraine moden.

“Rusia tidak boleh berasa selamat, membangun, dan wujud dengan ancaman berterusan dari wilayah Ukraine moden,” kata Putin.

“Semua pertumpahan darah yang berlaku adalah tanggungjawab rejim pentadbiran Ukraine.”

Bagaimanapun, ruang lingkup operasi ketenteraan Rusia masih tidak jelas namun Putin berkata: “Rancangan kami tidak termasuk penjajahan terhadap wilayah Ukraine. Kami tidak akan melakukan sebarang tindakan dengan menggunakan kekerasan.”

Beliau bercakap demikian ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mengadakan mesyuarat tergempar di New York bagi membincangkan krisis terbaru Eropah itu.

Putin berkata beliau mengarahkan tentera Rusia untuk melindungi rakyat dan merayu kepada tentera Ukraine untuk meletakkan senjata mereka.

Memetik laman sesawang berita Ukraine, Interfax melaporkan pihak berkuasa berkata pusat kawalan tentera Ukraine di Kyiv dan bandar Kharkiv di timur laut negara itu telah mengalami serangan peluru berpandu dan tentera Rusia telah mendarat di bandar pelabuhan Odessa dan Mariupol.

Letupan turut menggegarkan bandar Donetsk di timur Ukraine yang kini berpisah dari negara itu sementara pesawat awam diberi amaran supaya menjauhi kawasan tersebut.

Beberapa jam sebelum itu, pasukan pemisah pro-Rusia telah merayu bantuan ketenteraan dari Moscow dihantar bagi menghentikan apa yang didakwa sebagai pencerobohan Ukraine di kawasan yang dikuasainya.

Dakwaan pencerobohan Ukraine di dua wilayah timur negara itu disifatkan Amerika Syarikat sebagai propaganda Rusia.

Semalam, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berkata Moscow telah meluluskan serangan ke atas Ukraine dan tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi bagi usaha rundingan antara kedua-dua negara.

Putin juga mengulangi pendiriannya yang tidak menerima usaha Nato untuk memasukkan

Ukraine sebagai anggotanya, mendakwa ia adalah sebahagian daripada perluasan pengaruh di wilayah itu.

Justeru, katanya, Rusia tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri daripada ancaman yang didakwa berpunca dari Ukraine.