- Iklan -
Berita

79% dari 191 kematian ibu hamil tidak terima vaksin, kata KP kesihatan

Bagi tahun ini sehingga 15 Februari, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Sebanyak 79% dari 191 kes kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil pada tahun lepas, terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, turut melibatkan 83% daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.

Namun menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Februari, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7% pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau berkata sejumlah 18,277 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari tahun ini.