- Iklan -
Berita

Kementerian pengangkutan akan bekerjasama dengan Australia berhubung petunjuk baru MH370

Penemuan semakan data baru lokasi MH370 dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
MH370 tidak dapat dikesan selepas berlepas ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
MH370 tidak dapat dikesan selepas berlepas ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kementerian pengangkutan Malaysia (MOT) sedia bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai kajian mereka berhubung dokumen yang dikeluarkan jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey yang mendakwa terdapat petunjuk baru dalam mengenal pasti lokasi pesawat MH370 yang hilang.

Menurut MOT dalam kenyataan hari ini, kementerian mengambil maklum ATSB sedang meneliti data baru yang dikeluarkan Godfrey namun tidak boleh mengulas secara terperinci tentang kesahihan penilaian itu tanpa semakan dan pengesahan pihak ketiga.

“Sebarang perbincangan lanjut akan diadakan dengan kerajaan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai, yang mungkin membawa kepada pencarian baharu bagi pesawat yang hilang MH370.

“MOT bersimpati kepada ahli keluarga mangsa serta berpandangan bahawa sebarang bukti baru yang boleh dipercayai yang mungkin membawa kepada penemuan lokasi pesawat MH370 perlu dipertimbangkan dan diteliti sewajarnya,” katanya dalam kenyataan itu.

ATSB sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta pihak ketiga untuk menyemak data yang diperoleh daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada item yang menarik dikesan dalam carian sebelumnya berdasarkan dokumen Godfrey, “MH370 Flight Path”.

Menurut ATSB lagi, penemuan semakan itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi dan menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk menjalankan pencarian lanjut pesawat MH370 akan menjadi urusan kerajaan Malaysia dan ATSB tidak mengetahui sebarang permintaan untuk menyokong pencarian baru untuk pesawat yang hilang itu.